Skip to main
Logo Malaysiakini

Kes saman: Hannah Yeoh, bekas IGP setuju proses mediasi

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Kes saman fitnah bekas timbalan menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat Hannah Yeoh terhadap bekas ketua polis negara Musa Hassan akan melalui proses mediasi.

Peguam bagi kedua-dua pihak yang dihubungi Malaysiakini baru-baru ini mengesahkan perkara berkaitan kes saman ahli parlimen Segambut terhadap bekas ketua polis itu.

Peguam Lim Wei Jiet yang mewakili Yeoh selaku plantif dan Mohd Khairul Azam Abdul Aziz yang mewakli Musa selaku defendan mengesahkan para peguam telah menandatangani perjanjian untuk proses mediasi.

Untuk rekod, mediasi merupakan proses alternatif undang-undang tanpa melalui proses perbicaraan penuh di mahkamah dengan mediator terdiri daripada hakim dan pegawai kehakiman.

Menurut salinan perjanjian itu yang dilihat Malaysiakini, peguam bagi kedua pihak telah menandatangani perjanjian untuk proses mediasi dengan Yeoh dan Musa dinamakan dalam dokumen berkenaan.

“Kami, peguam cara yang mewakili pihak yang disebutkan di atas, dengan ini bersetuju merujuk perkara ini untuk pengantaraan bagi tujuan mencapai penyelesaian secara baik dan memuaskan hati semua pihak,” menurut perjanjian bertarikh 25 Okt, yang turut menamakan hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Quay Chew Soon.

Menurut senarai kausa dalam talian, proses undang-undang itu ditetapkan untuk pengurusan kes di hadapan Quay pada 29 Nov.

Yeoh memfailkan saman fitnah itu pada 3 Julai tahun lepas, susulan ucapan Musa dalam sebuah forum di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Ucapan itu disampaikan dalam forum bertajuk "Wacana Isu Semasa Perjanjian Damai Hat Yai 1989: PKM Menyerah Diri?” yang dianjurkan Institut Raja-Raja Melayu UiTM.

Musa dilaporkan disiasat oleh polis berhubung ucapan itu pada 5 Feb tahun lepas.

Dalam ucapannya, Musa antara lain mengatakan DAP telah menerbitkan sebuah buku mengenai peranan orang Melayu di sebalik peristiwa rusuhan 13 Mei.

Menurut salinan pernyataan tuntutan saman yang dilihat Malaysiakini, Yeoh mendakwa ucapan itu mengandungi kenyataan fitnah yang "sama sekali tidak benar; merendahkan, menyusahkan, palsu, salah dan tanpa asas."