Skip to main
Logo Malaysiakini

6,060 kes baru, kemasukan ke hospital turun

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Kementerian Kesihatan hari ini melaporkan 6,060 kes baru Covid-19. Kes kumulatif kini berjumlah 2,460,809.

Jumlah kemasukan hospital di seluruh negara bagi tujuh hari lepas telah menurun sebanyak 12.3 peratus berbanding tujuh hari sebelumnya.

Bagaimanapun, kemasukan hospital di beberapa negeri mengalami peningkatan terutamanya di Terengganu (+66.7 peratus), Pahang (+41.0 peratus), Kedah (+22.7 peratus) dan Sabah (+11.0 peratus).

Sejak 9 Okt, Kementerian Kesihatan hanya akan mengeluarkan pecahan kes baru mengikut negeri pada keesokan hari melalui portal CovidNow.

Pecahan mengikut negeri untuk semalam (28 Okt) dengan 6,377 kes baru dilaporkan seperti berikut:

  • Selangor (1,431)
  • Sarawak (676)
  • Sabah (599)
  • Johor (575)
  • Kelantan (527)
  • Pulau Pinang (384)
  • Kedah (362)
  • Pahang (343)
  • Perak (297)
  • Terengganu (293)
  • Kuala Lumpur (262)
  • Melaka (253)
  • Negeri Sembilan (249)
  • Perlis (83)
  • Putrajaya (31)
  • Labuan (12)

Setakat hari ini, jumlah pesakit Covid-19 (termasuk yang disyaki) di unit rawatan rapi (ICU) adalah 11.4 peratus lebih rendah berbanding minggu lalu.

Pesakit yang memerlukan bantuan pernafasan juga telah menurun sebanyak 6.2 peratus berbanding seminggu yang lalu.

Angka R-naught seluruh negara ialah 0.95 setakat semalam, yang menunjukkan penularan wabak masih dalam trend menurun.

Walau bagaimanapun, angka R-naught melebihi 1.00 telah dilaporkan di Negeri Sembilan, dan beberapa negeri lain berada di sekitar ambang itu.

R-naught di Negeri Sembilan dianggarkan 1.04 ketika negeri ini merekodkan jumlah kes tertinggi sejak 13 Sept.

Bagaimanapun, perlu diingatkan bahawa wabak di negeri ini masih agak rendah buat masa ini dengan 249 kes, atau 23 kes bagi setiap 10,000 orang.

Sementara itu, R-naught Kuala Lumpur (0.99), Melaka (0.98), dan Putrajaya (0.98).

Selangor mencatatkan jumlah kes tertinggi sejak 17 Okt, tetapi wabak nampaknya masih menurun buat masa ini dengan angka R-naught 0.95.

Kluster

Sehingga kini, 460 kluster Covid-19 masih aktif, termasuk 11 kluster baru dilaporkan hari ini.

Kluster yang berterusan telah menurun sebanyak 20.7 peratus daripada 580 kluster aktif seminggu lalu.

Sebelas kluster baharu hari ini terdiri daripada empat kluster tempat kerja (36.4 peratus), dua kluster pengajian tinggi (18.2 peratus), dua kluster institusi kementerian bukan pendidikan (18.2 peratus), satu kluster kumpulan berisiko tinggi (9.1 peratus) dan dua kluster komuniti ( 18.2 peratus).