Yusoff nafi saman Anwar 'kes serangan seksual' bermotif politik
Muhammad Yusoff Rawther menafikan dakwaan Anwar Ibrahim bahawa samannya terhadap ketua pembangkang itu 'bermotifkan politik'.
Menerusi pemfailan mahkamah, Yusoff mengulangi bahawa samannya terhadap Anwar untuk mencari remedi undang-undang berhubung serangan seksual yang dituduh dilakukan oleh presiden PKR itu terhadapnya.
“Plaintif (Yusoff) sedang menuntut ganti/ tebus rugi di bawah undang-undang atas kesalahan yang (didakwa) telah dilakukan terhadap diri plaintif, iaitu, serangan seksual tersebut.
"Bahawa guaman (saman) ini bukannya bermotifkan politik dan bukannya dengan sengaja dirancang untuk mengakibatkan kejatuhan kerjaya politik defendan.
"Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, lanskap politik di Malaysia adalah tidak menentu terutamanya perebutan dalaman parti dan pertukaran kepemimpinan.
"Plaintif tidak boleh diharapkan untuk berduduk diam dan kononnya menunggu untuk suatu peluang yang sempurna bagi memfailkan tindakannya,” dakwa Yusoff pada dokumen mahkamah yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dua hari lalu.
Pemfailan itu merupakan jawapan kepada pernyataan Pembelaan dan Pembelaan kepada Tuntutan Balas Ahli Parlimen Port Dickson Anwar terhadap saman Yusoff sebagai plaintif yang dikaitkan dengan dakwaan serangan seksual.
Dilaporkan bahawa melalui pernyataan Pembelaan dan Pembelaan kepada Tuntutan Balasnya, defendan Anwar bukan sahaja menolak dakwaan serangan seksual sebagai "sangat palsu dan rekaan", tetapi juga berhujah saman itu bermotifkan politik untuk menghalangnya daripada menjadi perdana menteri.
Yusoff mendakwa pernah bekerja sebagai pembantu penyelidik Anwar manakala ahli parlimen Port Dickson itu mempertikaikan hal itu dan berpendapat Yusoff hanyalah sukarelawan muda atau pelatih di pejabat Anwar di Jalan Gasing, Petaling Jaya.
Yusoff menjadi tumpuan pada 2019 apabila dia mendakwa diserang secara fizikal di pejabat Anwar dan mendakwa pada sidang media pada 3 Dis tahun yang sama bahawa dia juga diserang secara seksual. Yusoff bergantung kepada akuan berkanun semasa taklimat medianya.
Menerusi pemfailan mahkamah yang dilihat Malaysiakini, Yusoff juga berhujah dia tidak pernah bersubahat dengan sesiapa untuk menjatuhkan imej Anwar dan menggagalkan usaha ahli politik veteran itu untuk menjadi perdana menteri Malaysia.
"Plaintif tidak mempunyai pengetahuan dan/ atau hubungan dan/ atay kenalan dengan individu-individu-individu yang telah dinamakan dan/ atau tidak dinamakan di dalam tuntutan balas (Anwar).
"Defendan (Anwar) telah secara tidak adil menuduh plaintif (Yusoff) membuat perancangan jahat untuk memusnahkn kemajuan politik defendan semata-mata untuk menyelindung serangan seksual yang telah dilakukan oleh defendan terhadap plaintif,” dakwa Yusoff lagi.
Plaintif mendakwa tuntutan balas defendan adalah "jelas satu pemikiran terkemudian" kerana Anwar hanya memfailkannya apabila dia berdepan tuntutan mahkamah.
Yusoff mendakwa walaupun pada 17 Jan tahun lepas Anwar mengumumkan melalui peguam bahawa saman sivil akan difailkan terhadap Yusoff, defendan tidak berbuat demikian pada sepuluh hari kemudian.
Berhubung dengan dakwaan Anwar bahawa dakwaan serangan seksual berkenaan adalah rekaan dan tidak benar, Yusoff menafikan perkara itu dan meminta defendan mengemukakan bukti mengenai perkara ini.
Ketika dihubungi, peguam Yusoff Mahajoth Singh berkata Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini telah mengarahkan Anwar untuk memfailkan jawapannya kepada pembelaan plaintif terhadap tuntutan balas itu, pada atau sebelum 10 Nov.
Perkara tersebut adalah keputusan pengurusan kes saman berkenaan di hadapan Mahkamah Tinggi awal hari ini, kata peguam itu.
Mahajoth menambah mahkamah juga telah menetapkan 24 Nov untuk pengurusan kes seterusnya.
[Baca laporan asal]
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai