Skip to main
Logo Malaysiakini

Kerajaan tanggung penuh bayaran lesen kenderaan buat OKU

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

BELANJAWAN 2022 | Orang kurang upaya (OKU) tidak lagi perlu membayar untuk mendapatkan lesen kenderaan bermotor (LKM) pada tahun hadapan.

Berita baik itu dikongsikan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz semasa dia membentangkan Belanjawan 2022 di Dewan Rakyat hari ini.

“Bagi tahun hadapan, kerajaan bersetuju untuk menanggung sepenuhnya bayaran LKM kepada semua kenderaan persendirian yang dimiliki oleh OKU.

“Harapnya, ini sedikit sebanyak meringankan kos sara hidup golongan OKU,” katanya.

Menurut Tengku Zafrul lagi kerajaan tidak pernah melupakan kebajikan golongan OKU.

Selain pengecualian bayaran lesen, katanya, kerajaan juga memperuntukkan RM30 juta bagi menaik taraf infrastruktur bangunan kerajaan supaya lebih mesra OKU.

“Peruntukan ini antaranya untuk menyediakan lebih banyak laluan khas bagi kegunaan golongan cacat penglihatan," katanya.

Antara langkah lain yang disebut Tengku Zafrul bagi kebajikan OKU dalam Belanjawan 2022 ialah:

  • RM10 juta untuk Pusat Latihan Berdikari serta sebuah Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan Kerajaan bagi melaksanakan program latihan dan bimbingan ajar kepada golongan OKU.
  • Kuota pekerjaan khas 1 peratus buat OKU dalam program MyStep.
  • Semua rangkaian TV termasuk saluran swasta akan menyediakan jurubahasa isyarat dalam penyampaian berita.
  • Program Pemulihan Dalam Komuniti - sebagai medium intervensi awal untuk anak-anak kurang upaya meningkatkan kemahiran diri dan menceburi pekerjaan. Ketika ini ia dijalankan di USM namun akan diperluas ke universiti-universiti awam lain.