Skip to main
Logo Malaysiakini

RM25 juta bagi jaga kebajikan anak yatim Covid-19

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Kerajaan memperuntukkan RM25 juta bagi menjaga kebajikan lebih 4,700 anak yang kehilangan ibu bapa akibat wabak Covid-19, kata Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.

“Sejak wabak Covid-19 menjengah ke tanah kita, lebih 4,700 anak-anak telah hilang tempat bermanja, apabila ibu dan bapa mereka pergi buat selamanya akibat virus ini.

“Sebagai Keluarga Malaysia, menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan masa depan anak-anak ini terus terjaga.

“Pada tahun hadapan, kerajaan menyediakan RM25 juta kepada Yayasan Keluarga Malaysia bagi memimpin usaha melindungi kebajikan, pendidikan dan masa depan anak-anak ini,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2022 di Dewan Rakyat hari ini.

Katanya, semua pihak diseru untuk turut menyumbang demi menjaga kebajikan anak-anak ini, terutamanya sektor korporat.

“Kerajaan menggesa semua pihak tidak kira NGO, komuniti setempat, pemimpin tempatan malah syarikat korporat untuk memainkan peranan bagi memastikan kebajikan anak-anak ini terus terpelihara supaya semua dapat hidup bersama sebagai satu keluarga tanpa terpisah dan dapat membina masa hadapan yang cerah,” katanya.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Siti Zailah Mohd Yusoff berkata kerajaan telah mengenal pasti anak-anak yang kehilangan ibu bapa di seluruh negara dan telah mengambil usaha memastikan nasib mereka terbela, termasuk tidak tercicir dalam pendidikan.

Kata Zailah, wars dan keluarga terdekat anak yatim diberi peluang untuk menjaga mereka, namun sekiranya tiada waris boleh berbuat demikian, terdapat 36 institusi kanak-kanak - tujuh daripada dikhaskan kepada anak-anak yang kehilangan ibu bapa serta tiada waris.

“Kami sayang semua, kami sentiasa ada untuk menjaga kamu semua,” kata Tengku Zafrul.