Skip to main
Logo Malaysiakini

Menteri: Harga baru kit ujian kendiri Covid-19 diumum minggu depan

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Pengurangan harga siling kit ujian kendiri Covid-19 akan diumum minggu depan, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Alexander Nanta Linggi.

“Jika sebelum ini saya pernah katakan ia akan dikurangkan pada Disember, berita baiknya kita tidak perlu tunggu sampai Disember, kita boleh turunkan November ini, jadi saya akan umumkan minggu depan,” katanya pada sidang media di Bangunan Parlimen selepas pembentangan Bajet 2022 di Kuala Lumpur hari ini.

Nanta berkata penetapan pengurangan harga bakal diumumkan nanti mengambil kira kepentingan rakyat dan semua pihak terlibat setelah melalui libat urus dengan pihak berkaitan.

September lepas kementerian itu menetapkan harga borong dan runcit maksimum Kit Ujian Pantas (RTK) Antigen Covid-19 masing-masing pada harga RM16 dan RM19.90.

Dia berkata KPDNHEP setakat ini meluluskan 2,500 premis atau syarikat untuk menjual kit ujian kendiri itu bagi memudahkan pengguna mendapatkannya dan pihaknya juga mengalu-alukan lebih banyak syarikat dan premis yang berminat menjual kit itu supaya tampil memohon kepada kementerian.

-Bernama

[Berita lanjut menyusul]