Skip to main
Logo Malaysiakini

Persatuan perniagaan puji belanjawan tapi gesa syarat pinjaman dilonggarkan

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Komuniti perniagaan menimbulkan kebimbangan mengenai skim pembiayaan RM40 bilion yang akan diperuntukkan di bawah Belanjawan 2022 mungkin tidak tersedia untuk beberapa perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Meski memuji belanjawan yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz sebagai belanjawan terbesar untuk komuniti perniagaan dan sektor lain dalam sejarah, kumpulan itu menggesa kerajaan memastikan PKS dapat mengakses pinjaman itu.

Ini khususnya selepas mereka melihat bagaimana permohonan pinjaman oleh usahawan ditolak oleh bank sejak dua tahun lalu malah kerajaan mengumumkan pakej rangsangan untuk membantu rakyat, termasuk perniagaan yang terjejas akibat kejatuhan ekonomi akibat pandemik Covid-19.

Bercakap dengan Malaysiakini, Presiden Persatuan PKS Malaysia Michael Kang berkata skim pembiayaan RM40 bilion, yang digelar Semarak Niaga Keluarga Malaysia atau SemarakNiaga akan diperuntukkan untuk PKS dan syarikat tersenarai awam.

"Apa yang penting ialah pelaksanaan di lapangan, kami mahu bank memudahkan proses permohonan pinjaman, supaya peminjam yang layak boleh mendapatkan pinjaman mereka segera," katanya.

Jelasnya, beberapa bank masih melaksanakan syarat pembiayaan yang ketat untuk kumpulan PKS walaupun semakin banyak perniagaan dibuka semula selepas negara diletakkan di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN).

"Sebagai contoh, beberapa bank masih menghalang pemain industri pelancongan, antara lain daripada mendapatkan pinjaman mereka. Terdapat kira-kira 20 sekatan yang ditetapkan oleh bank yang kami bawa kepada kementerian kewangan semasa sesi dialog sebelum belanjawan," katanya.

Kang berharap skim pembiayaan itu akan dapat memanfaatkan 55 peratus daripada 1.2 juta PKS di negara ini yang menghadapi isu aliran tunai. Baki 45 peratus PKS mempunyai kecairan yang mencukupi dalam menjalankan perniagaan mereka.

"Saya rasa peruntukan belanjawan itu cukup untuk menampung PKS yang memerlukan kerana apa yang mereka perlukan hanyalah tiga hingga enam bulan kos operasi untuk kembali pulih," katanya.

Selaras dengan itu, Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Abdul Halim Husin mengimbas kembali bagaimana PKS ditolak oleh bank apabila mereka memohon pinjaman pembiayaan.

"Ramai usahawan mikro telah dilaporkan kepada Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) kerana gagal membayar balik pinjaman mereka kerana penutupan perniagaan semasa sekatan (PKP), justeru, mereka tidak layak menerima pinjaman baru juga," katanya.

Katanya, syarat sedemikian harus dilonggarkan supaya mereka yang benar-benar memerlukan pinjaman kewangan boleh memulakan semula perniagaan mereka selepas mendapat suntikan modal.

“Selain itu, bank juga memerlukan peminjam mengemukakan unjuran perniagaan mereka dengan kenaikan hasil tahunan yang stabil melebihi 10 peratus.

"Bagi pengusaha restoran, bagaimanakah seseorang itu boleh mendapat peningkatan hasil sedemikian apabila anda dijangka mematuhi jarak sosial dan premis itu sepatutnya beroperasi pada separuh daripada kapasiti biasa?" soal Abdul Halim.

"Kerajaan sepatutnya melibatkan bank swasta untuk tujuan itu. Ini yang kita beritahu kerajaan tahun lepas tetapi Bank Negara Malaysia (BNM) enggan berbuat demikian," katanya.