Peruntukan RM2.1 bilion bantu tarik pelaburan berkualiti tinggi - Azmin
Peruntukan sebanyak RM2.1 billion bagi program dan inisiatif melibatkan implikasi kewangan yang digariskan dalam Bajet 2022 akan membantu memulihkan segera ekonomi negara dan menarik pelaburan baru yang berkualiti tinggi, berteknologi tinggi dan berteknologi hijau.
Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata usaha itu selari dengan Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12) dan Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) Malaysia yang memberi penekanan kepada elemen alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).
“Antara inisatif yang terkandung dalam Bajet 2022 untuk menarik pelaburan langsung asing (FDI) dan meningkatkan keupayaan tempatan termasuklah Dana Khas Pelaburan Strategik bagi menarik pelaburan asing strategik dalam kalangan syarikat multinasional.
“Ini khususnya yang dapat melengkapkan rantaian nilai industri serta memacu penjanaan pekerjaan berteraskan pengetahuan dan pembangunan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan yang dicadangkan sebanyak RM2 bilion,” katanya pada sidang media selepas pembentangan Bajet 2022 oleh Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, di Parlimen, semalam.
Mohamed Azmin berkata, antara inisiatif lain untuk menarik FDI termasuklah Misi Perdagangan dan Pelaburan untuk meneroka pelaburan berimpak tinggi dan pasaran eksport dengan peruntukan RM25 juta, Penjenamaan Digital Produk Halal PMKS dan program Peningkatan Kebolehpasaran Produk Halal PMKS (RM25 juta) dan Industry4WRD bagi galakan transformasi teknologi ke arah revolusi industri keempat dalam kalangan PKS (RM45 juta).
Beliau berkata pelaburan ke Malaysia selama ini lebih bersifat berintensifkan buruh dan menyebabkan negara terlalu bergantung kepada tenaga pekerja asing.
“Hari ini sahaja kita mempunyai lebih lima juta tenaga pekerja asing sedangkan saya yakin anak tempatan mempunyai potensi kemahiran sekiranya mereka diberikan peluang untuk diasah bakat dan kemahiran mereka,” katanya.
Oleh itu, beliau berkata, insentif yang diberikan untuk menarik pelaburan asing strategik ke Malaysia bukan sahaja dapat membawa pelaburan berkualiti tinggi, malahan mencipta pekerjaan berkualiti tinggi untuk golongan muda.
“Bagi tahun ini, Miti menjangka menarik RM200 bilion pelaburan dan mencipta anggaran 114,000 pekerjaan. Kebanyakan FDI dijangka datang dari sektor pembuatan iaitu sebanyak RM140 bilion,” katanya.
Mohamed Azmin berkata, melalui insentif yang digariskan dalam Bajet 2022, beliau yakin Miti mampu menarik pelaburan bagi tahun 2022 yang melangkaui prestasi tahun ini.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai