'Mohamaddin lari dari perjuangan, tinggal kawan' - Ahli MT Warisan
Tindakan Ahli Parlimen Lahad Datu dan Adun Segama Mohamaddin Ketapi yang 'memilih jalan senang' keluar parti dengan membelakangkan mandat PRU14 dan PRN Sabah tidak wajar diterima, kata Ahli Majlis Tertinggi Warisan, Azhar Matussin.
“Mohamaddin lari dari perjuangan meninggalkan rakan-rakan seperjuangan.
"Sekarang beliau bersekongkol dengan pihak yang dulu dikatakan tidak baik," dakwanya pada satu kenyataan hari ini.
Azhar yang juga Adun Darau berkata langkah Mohamaddin itu sudah dijangka sejak beberapa hari lepas.
"Apa-apa pun rakyat tahu menilai bila tiba masanya nanti. Apa-apa pun kita ucapkan Selamat Maju Jaya kepada Datuk Mohamaddin Ketapi.
"Kami yang masih dalam Warisan tetap akan bersama-sama kepimpinan Warisan yang diterajui Presiden, Datuk Seri Mohd Shafie Afdal," katanya lagi.
Mengulas kenyataan Mohamaddin yang berkata dia keluar Warisan untuk berkhidmat dengan lebih baik di kawasannya, Azhar berkata perkara itu sepatutnya tidak sampai ke tahap melompat parti.
Ini katanya kerana kerajaan sedia ada akan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap pembangunan sesuatu kawasan itu.
“Kita tidak lari dengan pendirian asal selepas dilantik menjadi Adun untuk tetap dengan pendirian kekal bersama Warisan,” jelas Azhar lagi.
Terdahulu, Mohammaddin menyusuli langkah Adun Sindumin Dr Yusof Yacob awal bulan ini yang mengumumkan keluar Warisan untuk menjadi Adun bebas menyokong kerajaan negeri ditadbir Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Adun Segama itu menafikan membuat keputusan keluar parti kerana 'dibeli'.
Dengan perkembangan terbaru itu, Warisan yang memenangi 23 kerusi DUN pada pilihan raya umum lalu kini tinggal 19 kerusi.
Ini setelah Adun Bugaya Manis Muka Mohd Darah meninggal dunia November tahun lepas, Adun Sebatik Hassan A Gani Pg Amir keluar parti pada Feb serta Adun Sindumin dan Adun Segama keluar parti pada Okt ini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai