Belanjawan 2022: K'jaan perlu kawal ketirisan ketika hasil negara kurang, kata MP
Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail menyarankan kerajaan agar mengawal ketirisan susulan pembentangan Belanjawan 2022 semalam, yang merupakan belanjawan dengan peruntukan terbesar dalam sejarah.
Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu itu berkata kerajaan mempunyai tanggungjawab besar dalam membiayai belanjawan tersebut.
"Biarpun belanjawan mengembang, kerajaan tetap terikat dengan komitmen besar dalam hal emolumen, pencen, bayaran hutang dan subsidi.
"Cabaran utama ialah bagaimana membiayai komitmen tersebut ketika hasil juga kurang (daripada perbelanjaan).
"Kerajaan wajar kawal ketirisan, tingkat kecekapan penyampaian dan elak pemborosan," katanya dalam komen ringkas kepada Malaysiakini.
Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz membentangkan Belanjawan 2022 di Dewan Rakyat semalam, dengan jumlah peruntukan sebanyak RM332.1 bilion.
Ia merupakan peningkatan tiga peratus daripada belanjawan sebelumnya.
Kerajaan juga menganggarkan pertumbuhan ekonomi antara 5.5 peratus hingga 6.5 peratus tahun depan, berbanding anggaran pertumbuhan 3 peratus hingga 4 peratus untuk tahun ini yang dibuat Bank Negara.
Sementara itu, Ahli Parlimen Ipoh Barat M Kulasegaran berkata kerajaan telah mengambil kira banyak cadangan PH untuk belanjawan kali ini, tetapi tetap menyuarakan kekecewaan kerana ia tidak menyentuh isu gaji minimum.
"Saya memuji Kementerian Kewangan setelah perbincangan sebanyak lima pusingan bersama kepimpinan Pakatan Harapan (PH). Banyak cadangan telah diambil kira.
"Namun, saya kecewa isu gaji minimum tidak disentuh. Ia melibatkan hampir 16 juta pekerja di negara ini. Kerajaan perlu serius dalam menangani isu ini," kata bekas menteri sumber manusia itu.
Dia turut berpandangan peruntukan untuk golongan B40 agak sedikit jika dibandingkan dengan jumlah belanjawan yang meningkat 3 peratus.
"Satu lagi perkara paling penting adalah cabaran untuk mewujudkan 600,000 peluang pekerjaan baru.
"Ini kerana ianya tidak dinyatakan di mana dan bagaimana peluang tersebut akan dicipta," katanya, merujuk kepada skim JaminKerja Keluarga Malaysia yang dijangka mengurangkan kadar pengangguran kepada empat peratus.
Menerusi skim itu, kerajaan akan memberi subsidi pada kadar tertentu untuk tempoh setahun pertama. Bagaimanapun, ia terhad untuk gaji bawah RM1,500 dan RM1,200 (untuk pengambilan orang kelainan upaya).
Belanjawan utamakan kesejahteraan masyarakat
Dalam pada itu, Naib Presiden MIC T Mohan memuji belanjawan 2022 sebagai mengutamakan kesejahteraan masyarakat dan kelangsungan ekonomi dalam mengharungi pasca Covid-19.
Ahli Dewan Negara itu menekankan kerajaan perlu memberi kepentingan dalam mekanisme pelaksanaannya.
"Semua pihak yang terlibat harus berkomited supaya tiada sebarang ketirisan berlaku.
"Di peringkat pentadbiran, ia perlu dianggap sebagai amanah dan tanggungjawab yang membolehkan kemakmuran negara tercapai dengan baik," katanya.
Ibarat 'kais pagi makan pagi'
Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) Ibrahim Ali pula berbeza pandangan, dengan menyifatkan Belanjawan 2022 sebagai sangat mengecewakan.
"Seperti biasa, Belanjawan 2022 sedap di dengar dari segi kata-kata. Ucapan pembukaan dan dasar-dasar yang sedap didengar. (Tetapi) Tidak ada yang signifikan atau sesuatu yang teruja.
"Pada pendapat saya, Ini belanjawan 'bread and butter'. Nama-nama program bertukar dan sekarang bantuan Keluarga Malaysia (BKM) pula naik sikit.
"Keseluruhan belanjawan untuk rakyat ibarat kata 'kais pagi makan pagi'. Pemberian sana sini naik sikit-sikit," katanya lagi.
Bagi Ibrahim, apa yang mengecewakannya adalah isu agenda bumiputera yang menurutnya tidak memadai.
Dia membangkitkan peruntukan RM11.4 bilion untuk agenda tersebut, yang menurutnya sepatutnya jauh lebih tinggi.
Menurut ucapan belanjawan semalam, sebanyak RM6.6 bilion diperuntukkan untuk kemudahan pendidikan di bawah MARA, UiTM dan Yayasan Peneraju, manakala RM4.8 bilion untuk program perniagaan di bawah Perbadanan Usahawan Nasional Berhad, Tekun Nasional dan Dana Kemakmuran Bumiputera.
"Menteri kewangan menyebut hal agenda ekonomi Bumiputera sekitar satu minit lebih sahaja.
"Patutnya setiap kali pembentangan belanjawan hurai kedudukan ekonomi Bumiputra dalam setiap sektor dan apakah program afirmatif atau program kesungguhan untuk mengangkat ekonomi kaum bumiputera," katanya lagi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai