Skip to main
Logo Malaysiakini

'Ceramah tanpa kehadiran orang ramai' - PKR didenda RM10,000

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

PKR telah dikenakan denda sebanyak RM10,000 kerana menganjurkan acara berkaitan pilihan raya di Melaka, walaupun parti itu mendakwa ceramah bergerak dianjurkan mereka ‘tanpa kehadiran orang ramai’ bagi mengelak penularan Covid-19.

Ketua Penerangannya Shamsul Iskandar Md Akin berkata PKR telah memutuskan untuk mengadakan dua ceramah bergerak ‘tanpa kehadiran orang ramai’ malam tadi di kawasan Paya Rumput.

Dalam ceramah itu, jelasnya penceramah akan berdiri di atas pentas yang dibina di atas lori dan diletakkan di tengah-tengah kawasan perumahan untuk menyampaikan ceramah dengan menggunakan pembesar suara.

Katanya, mereka yang berminat untuk mendengar ceramah boleh duduk di hadapan rumah masing-masing bagi mendengar ceramah tanpa perlu berkumpul beramai-ramai.

"Tidak ada pertemuan atau perkumpulan yang mungkin mewujudkan kluster-kluster baru dan sebagainya dan program ini tidak dianggap sebagai program majlis sosial.

"Sewaktu kami anjur program itu di Taman Krubong Jaya, pasukan polis telah pun memulakan satu kompaun yang menyatakan kesalahan kita adalah ingkar prosedur operasi standard (SOP) kerana mengadakan kempen pilihan raya negeri.

"Kami PKR telah diberi kompaun RM10,000. Bagi saya jumlah ini amat tidak munasabah, sebabnya tidak ada kontak fizikal, tiada perhimpunan, program bersifat mobil," katanya dalam sidang media di Melaka yang turut disiarkan di media sosialnya.

Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum ini mengumumkan bahawa semua perhimpunan fizikal dan acara sosial yang berkaitan dengan pilihan raya negeri Melaka adalah tidak dibenarkan.

Terdahulu, KKM mengendakan denda sebanyak RM10,000 terhadap BN selepas gabungan itu mengadakan program di Kuala Lumpur bagi pelancaran jentera pilihan rayanya untuk pilihan raya negeri Melaka.

Berdasarkan pemerhatian Malaysiakini terhadap acara itu, ia dihadiri sekurang-kurangnya beberapa ratus pemimpin dan ahli BN.

Shamsul berkata PKR akan mengambil pendekatan kreatif dan berhati-hati untuk pilihan raya kali ini termasuk ceramah bergerak tanpa orang ramai, tetapi malangnya polis masih mengeluarkan kompaun kepada mereka.

"Ini merupakan satu perkara yang saya kesali dan saya desak Kementerian Kesihatan untuk meneliti dengan tepat lagi dalam kontek tidak boleh mengadakan perhimpunan dan majlis sosial ketika pilihan raya.

"Ini adalah sesuatu yang tidak munasabah jika pilihan raya tidak ada kempen," katanya lagi.

Shamsul turut mencadangkan Kementerian Dalam Negeri mengadakan taklimat kepada pegawai polis bagi merungkai kekeliruan tentang SOP dan peraturan berkaitan.

Buat masa ini katanya, PKR akan menulis surat kepada Kementerian Kesihatan dan Kementerian Dalam Negeri mengenai perkara ini terlebih dahulu.

PKR juga katanya akan berbincang dengan peguam untuk melihat sekiranya perkara ini boleh dicabar di mahkamah.

Shamsul juga mendakwa pemimpin BN telah mengadakan program di Melaka malam tadi yang melibatkan perkumpulan orang ramai.

"Melaka juga didatangi oleh pemimpin BN, mereka buat program yang membabitkan ramai yang hadir. Lebih daripada 10 orang berkumpulan adakah mereka juga disaman dengan kompaun ini?

"Kewaspadaan kita nampaknya tidak dihargai tapi terus kita diberi kompaun sama dengan parti yang buat perhimpunan besar-besaran," katanya lagi.

[Baca berita asal]