Skip to main
Logo Malaysiakini

BN dan Bersatu Selangor bertikam lidah isu logo PN

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Seorang pemimpin Pemuda Bersatu (Armada) Selangor menafikan dakwaan Ketua Penerangan BN Selangor Isham Jalil bahawa Bersatu “goyang”dan “tidak pasti” untuk menggunakan lambang Perikatan Nasional (PN) dalam PRN Melaka.

Dalam kenyataan hari ini, exco Armada Selangor Khidir Jamil berkata dakwaan itu adalah karut, dan bahkan Bersatu telah menjalankan pelbagai program kemasyarakatan di seluruh Melaka atas nama PN dengan menggunakan bendera gabungan itu.

Dia turut menepis dakwaan Isham bahawa misi Bersatu dalam PRN Melaka adalah untuk memecahkan undi Melayu bagi membantu PH.

“Janganlah menuding jari kepada Bersatu sebagai sebab pecah undi Melayu pula, persoalan saya adakah Umno masih layak menerima undi dari Melayu kerana merekalah punca berlakunya PRN Melaka ini

“Maka siapa punca undi Melayu pecah sebenarnya?" soalnya.

Khidir berkata, malah kini ada dakwaan bahawa wujud rundingan antara Bersatu, PAS dan Umno untuk PRN Melaka, sekaligus menunjukkan Umno memerlukan sekutu dalam pilihan raya itu.

“Jika benar dakwaan ini (terdapatnya rundingan) maka jelaslah parti Umno juga takut dan goyang untuk bertanding secara solo seperti yang digembar-gemburkan oleh presiden parti Umno sebelum ini,” tambahnya.

Khidir membalas hantaran Facebook oleh Isham semalam yang mendakwa Bersatu tidak pasti untuk menggunakan lambang PN, selain mempunyai agenda untuk memecahkan undi Melayu bagi menghalang kemenangan BN.

“Jika mereka guna lambang PAS, besar kemungkinan orang bukan Melayu tidak akan undi mereka. Dan jika mereka guna lambang PN pula, mereka akan hilang undi Melayu PAS.

“Dalam kedua-dua kes, mereka (Bersatu) tahu sukar untuk mereka menang apa-apa kerusi, tambahan lagi dengan rekod buruk mereka mentadbir kerajaan selama 39 bulan sebelum ini (sejak Mei 2018),” kata Isham.