Skip to main
Logo Malaysiakini

Exco Kelantan bangkitkan soal royalti minyak pada Ismail Sabri

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Seorang exco kerajaan Kelantan membangkitkan soal pembayaran royalti petroleum kepada Kelantan.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan Dr Izani Husin dalam tulisan Facebook kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob membangkitkan perjanjian petroleum antara Kelantan dan kerajaan persekutuan pada 1975.

"Perjanjian ini bukan sama sekali untuk menghalang pembayaran kepada kerajaan negeri, dengan mengadakan syarat-syarat baru atau interpretasi baru seperti tiga batu nautika dari pesisir pantai.

"Perjanjian antara Malaysia dan Thailand untuk telaga JDA dan memberi hasil kepada persekutuan adalah kerana sempadan negara antara Malaysia-Thailand adalah Kelantan," katanya.

Isu royalti petroleum kepada Kelantan sering menjadi perdebatan dan diperjuangkan kerajaan Kelantan sejak sekian lama termasuk mengambil tindakan saman terhadap kerajaan persekutuan.

Bagaimanapun pada Oktober 2018 Kelantan menarik balik saman tersebut susulan komitmen kerajaan pusat ketika itu bawah pentadbiran Dr Mahathir Mohamad yang mahu membayar royalti kepada Kelantan dan Terengganu seperti dinyatakan dalam mesyuarat Majlis Kewangan Negara.

Ketika Pakatan Harapan (PH) mentadbir negara, wang it sudah disalurkan royalti namun Kelantan beranggapan ia sebagai wang ihsan.

Kelantan memfailkan saman ketika negeri terbabit ditadbir oleh allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Bersama exco kanannya ketika itu, Husam Musa, Kelantan menyaman Petronas dan kerajaan pusat apabila Putrajaya tidak membayar royalti untuk minyak yang dicari gali di perairan negeri tersebut sejak 2004.

 Saman terhadap Petronas dan kerajaan persekutuan itu meliputi dakwaan pelanggaran perjanjian kontrak dan turut membabitkan isu perlembagaan.

Sementara itu Izani berkata, secara logiknya royalti perlu diberikan kepada Kelantan sekurang- kurangnya atas rasa terima kasih dan syukur kerana Kelantan adalah sempadan Malaysia-Thailand dan membolehkan Malaysia mendapat hasil.