Skip to main
Logo Malaysiakini

Malaysia belum sedia beralih sepenuhnya ke fasa endemik

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Malaysia belum bersedia beralih sepenuhnya ke fasa endemik.

Demikian menurut laporan Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan, Sains dan Inovasi Parlimen yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini.

"Berdasarkan parameter kesihatan awam yang sedia ada, jawatankuasa merumuskan bahawa negara kita belum bersedia untuk transisi secara penuh ke endemik Covid-19 buat masa ini dan sebelum syor dan rekomendasi diimplementasikan secara berkesan," kata jawatankuasa itu dalam ringkasan laporan itu.

Menurut penemuan mereka, terdapat beberapa bidang perlu diberi tumpuan tambahan oleh Putrajaya dalam sistem pengurusan Covid-19, khususnya ke arah peralihan negara ke peringkat endemik.

Ia termasuk pelan jangka panjang untuk memastikan peralihan yang selamat, dengan mengadakan program imunisasi Covid-19 yang berkesan dan meningkatkan sistem penjagaan kesihatan awam.

"Adalah penting untuk memperkasakan intergrasi teknologi dan pangkalan data berkaitan pengurusan Covid-19 negara.

"Adalah penting untuk menyediakan strategi komunikasi yang berkesan supaya matlamat penyampaian komunikasi berkaitan pengurusan Covid-19 adalah tepat dan cepat," kata laporan itu lagi.

Bagi mencapai matlamat ini, jawatankuasa itu meminta kerajaan memperuntukkan belanjawan yang membolehkan "sistem penjagaan kesihatan yang lebih komprehensif", supaya negara boleh lebih bersedia untuk menangani wabak itu dan bersedia untuk memasuki fasa endemik.

Kerajaan sepatutnya menyediakan kira-kira empat peratus daripada keluaran dalam negara kasar negara (KDNK) untuk penjagaan kesihatan dalam belanjawan tahun depan, katanya.

Perhalus SOP, tambah lebih banyak katil ICU

Saranan lain ialah memperhalusi prosedur operasi standard (SOP) sedia ada supaya lebih jelas, khusus agar orang ramai mengamalkan normal baharu.

"Penambahan katil Unit Rawatan Rapi (ICU) di setiap hospital besar sebagai persediaan untuk menghadapi sebarang peningkatan mendadak pesakit baru

Covid-19 tanpa menjejaskan kualiti rawatan terhadap pesakit bukan Covid-19.

"Ini juga merangkumi satu strategi terperinci untuk mewujudkan 'modular ICU' atau hospital medan secepat mungkin jika terdapat pertambahan secara mendadak," katanya.

Jawatankuasa itu juga menekankan tentang kepentingan menambah baik aplikasi MySejahtera, khususnya dalam fungsinya sebagai alat pengesanan kontak rapat.

Mereka berkata aplikasi itu perlu dipertingkatkan melalui integrasi teknologi, supaya ia akan dilengkapi dengan semua fungsi yang diperlukan untuk melakukan pengesanan kontak rapat dan memaklumkan individu yang terjejas untuk kawalan wabak yang lebih berkesan pada masa hadapan.

" Penambahbaikkan ini perlu melalui penyelidikan dan kajian perbandingan yang berterusan," katanya.

Jawatankuasa itu mengesyorkan supaya kapasiti sistem penjagaan kesihatan awam diperkukuh dengan mendigitalkan FTTIS (Cari-Uji-Kesan-Asingkan-Sokongan) dengan MySejahtera.

Dalam laporan itu, jawatankuasa itu memberitahu kerajaan bahawa adalah penting untuk mengadakan kerjasama yang lebih baik dengan kerajaan negeri dan pihak berkepentingan lain, terutamanya dalam bersikap telus dan menyediakan data terperinci mengenai Covid-19.

Ia akan memberi kuasa kepada negeri dan pihak berkepentingan untuk membuat keputusan mengurus Covid-19 di kawasan mereka, yang mereka fahami dengan lebih baik.

Kerajaan juga digesa supaya tidak bergantung kepada strategi penutupan menyeluruh atau perintah kawalan pergerakan apabila berlaku peningkatan mendadak dalam jumlah kes Covid-19 di kawasan tertentu.

Sebaliknya, jawatankuasa itu mencadangkan agar Putrajaya menghasilkan rancangan komprehensif baharu tentang cara menangani wabak itu.