Skip to main
Logo Malaysiakini

Kit ujian Covid-19 boleh dibeli serendah RM6.90 - menteri

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Harga kit ujian Covid-19 kini boleh dibeli di pasaran serendah RM6.90, menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Alexander Nanta Linggi.

Alexander berkata bekalan kit ujian Covid-19 juga akan disediakan di lebih banyak premis, termasuk di pasar raya tertentu, kedai serbaneka dan stesen minyak.

Sebelum ini, kebanyakan kit ujian Covid-19 dijual pada kadar hampir sama dengan harga runcit siling RM19.90. Ia juga kebanyakannya hanya boleh dibeli di farmasi.

Sebelum itu, setiap kit ujian antigen pantas dijual dalam kadar RM30 hingga RM40, bergantung kepada jenama.

Alexander mengumumkan dasar baru itu selepas merasmikan penjualan kit ujian Covid-19 di sebuah pasar raya di KLIA2.

“Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna diberitahu harga yang ditawarkan di pasar raya dan kedai serbaneka adalah serendah RM6.90 setiap satu manakala KK Supermart menjualnya pada harga RM6.60 sahaja.

"Ini pastinya berita yang sangat baik kepada pengguna memandangkan keadaan hari ini," katanya seperti dipetik Bernama.

Beberapa kedai sudah mula mengiklankan penjualan kit ujian Covid-19.

Antaranya termasuk 99 Speedmart yang mengatakan kit ujian pantas antigen Covid-19 jenama AllTest akan tersedia di cawangan terdekat.

Langkah mengurangkan lagi harga kit ujian dan mengembangkan keupayaannya adalah sebahagian daripada usaha menjadikan ujian Covid-19 sebagai norma apabila virus itu menjadi endemik.

Mengenai sama ada harga siling RM19.90 akan diturunkan lagi, Alexander berkata keputusan akan dibuat tidak lama lagi.

Nanta berkata memperluaskan penjualan kit ujian kendiri Covid-19 dijangka dapat membantu menurunkan harga.

Sehingga 28 Okt, beliau berkata sebanyak 2,570 premis perniagaan telah diluluskan untuk menjual kit ujian kendiri Covid-19.