MB umum Kelantan kuat kuasa Enakmen Kanun Jenayah Syariah mulai hari ini
Kerajaan Kelantan akan mula melaksanakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019 berkuat kuasa hari ini, menurut menteri besar Ahmad Yakob.
Ahmad berkata, ia selepas perkara itu mendapat perkenan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V.
"Sebagai permulaan, enakmen ini memberi faedah besar dalam pemantapan undang-undang syariah bukan sahaja di Kelantan, malah boleh diambil manfaat oleh negeri-negeri lain dalam usaha melengkapkan lagi Kanun Jenayah Syariah di Malaysia.
"Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019 memilih kaedah pelaksanaan hukuman berbentuk retributif dan restoratif untuk memulih dan memberi kesedaran kepada pesalah syariah terhadap kesalahan yang dilakukan," katanya di Majlis Pelancaran Penerangan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019 secara atas talian anjuran Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (Jaheaik) di Kota Bharu, semalam.
Sehubungan itu, Ahmad menegaskan agar umat Islam di Kelantan mematuhi dan menjaga kedaulatan undang-undang yang dikuatkuasakan demi kesejahteraan bersama.
Katanya lagi, undang-undang tersebut bertujuan mengajar, mendidik dan menepati perintah agama serta menjadikan syariat Islam sebagai panduan kehidupan.
"Sejak PAS diberi mandat rakyat untuk mentadbir Kelantan pada 1990, pelbagai usaha dijalankan oleh jawatankuasa yang dilantik bagi merealisasikan impian melaksanakan undang-undang Islam di negeri ini.
"DUN Kelantan juga meluluskan Rang Undang-undang Jenayah Syariah pada 1993 dan lahirnya Enakmen Undang-undang Jenayah Syariah (II) Kelantan 1993. Namun enakmen itu tidak dapat dikuatkuasakan atas sebab dan halangan tertentu," katanya lagi.
Dia berkata, kerajaan negeri kemudian mengambil inisiatif seperti membuat kajian dan penambahbaikan terhadap enakmen sedia ada termasuk Enakmen Kanun Jenayah Syariah 1985 dan mula disemak semula pada 2016 hingga 2019.
"Peruntukan enakmen itu dikaji, diteliti dan didapati ada kewajaran untuk ditambah baik sesuai dengan arus perkembangan sosial masyarakat masa kini serta menepati Akta Mahkamah Syariah (Bidang kuasa Jenayah) 1965, yang memberi kuasa kepada Mahkamah Syariah membicarakan kes yang had hukuman maksimun adalah tiga tahun penjara atau denda RM5,000 atau enam sebatan atau gabungan mana-mana hukuman terbabit," katanya lagi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai