Larangan jual minuman keras di kedai runcit KL dikuat kuasa, bir dibenarkan
Larangan penjualan minuman keras terhadap kedai runcit dan kedai serbaneka berkuat kuasa hari ini, menurut Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Bagaimanapun, penjualan bir di premis tersebut masih dibenarkan tertakluk kepada peraturan tambahan.
Ini termasuk perlu meletakkan produk bir di bahagian paparan khas, berasingan daripada minuman lain.
Jualan akan dibenarkan dari 7 pagi hingga 9 malam, selepas itu bahagian paparan mesti dikunci.
Ia hanya boleh dijual kepada bukan Islam berumur 21 tahun dan ke atas.
Ini adalah mengikut garis panduan yang dikemas kini dan dikeluarkan DBKL mengenai syarat pengeluaran lesen penjualan arak.
Bagaimanapun, penjualan runcit minuman keras masih dibenarkan di pasar raya, pusat perdagangan, pusat beli-belah dan kedai arak khusus.
Pub, bar, lounge dan restoran juga masih dibenarkan menjual minuman keras antara 10 pagi hingga tengah malam, atau sehingga 2 pagi jika ia diluluskan untuk lanjutan masa khas.
Ini tertakluk kepada pelbagai peraturan, seperti premis tidak boleh berada dalam lingkungan 100 meter dari balai polis, tempat ibadat, sekolah, hospital atau kawasan perumahan.
Tahun lalu, DBKL mengeluarkan garis panduan yang mengenakan larangan penjualan alkohol di kedai runcit, kedai serbaneka, serta kedai ubat Cina.
Peraturan baharu itu sepatutnya berkuat kuasa pada 1 Okt tetapi DBKL menangguhkannya pada malam sebelum pelaksanaan.
Semasa penangguhan selama sebulan itu, DBKL berkata ia telah berunding dengan pelbagai pihak berkepentingan mengenai perkara itu. Garis panduan terbaru dikeluarkan hari ini.
Dalam garis panduan itu, DBKL turut menangani kebimbangan yang dibangkitkan oleh kedai ubat Cina, menyatakan mereka akan dibenarkan menjual produk ubat berasaskan arak selagi ia mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai