Skip to main
Logo Malaysiakini

MySejahtera tak akan diguna jejak umat Islam kunjung pusat judi - KJ

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata kerajaan tidak akan menggunakan applikasi MySejahtera sebagai alat untuk menjalankan kepolisan moral seperti mengesan umat Islam yang mengunjungi sarang perjudian.

Kenyataannya itu dibuat susulan dakwaan Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim bahawa “puluhan ribu” umat Islam didapati berjudi di kira-kira 62 kelab berlesen dan mencadangkan kerajaan menyemak aplikasi pengesanan kontak wabak Covid-19 itu, untuk mengetahui jumlah sebenar itu.

"Kita tidak akan menggunakan MySejahtera untuk tujuan menjejaki umat Islam ke pusat perjudian atau melakukan sebarang bentuk kepolisan moral.

"MySejahtera hanya digunakan untuk tujuan pengurusan wabak dan kesihatan awam," kata menteri kesihatan itu, seperti dipetik akhbar berbahasa Inggeris The Star hari ini.

Berjudi adalah haram buat umat Islam di Malaysia, dan semua kedai perjudian berlesen mempunyai notis yang melarang umat Islam memasuki premis mereka.

Dalam ucapan perbahasan Belanjawan 2022 di Dewan Rakyat, semalam, Anwar mendakwa bilangan orang Islam yang menjadi anggota di kelab-kelab perjudian juga telah meningkat dalam tempoh setahun setengah kebelakangan ini.

Namun, Anwar tidak menyertakan bukti sokongan untuk dakwaan tersebut.

Menurut nya, akses orang Islam untuk mesin slot berlesen di kelab itu tidak seperti larangan yang dikenakan terhadap orang Islam di Kasino Genting di Pahang.