Skip to main
Logo Malaysiakini

Dasar kabotaj: Wee, Guan Eng berdebat malam ini

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Akhirnya, drama panjang pertikaman lidah di antara Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong dari MCA dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berhubung dasar kabotaj terhadap kapal asing yang terlibat dalam pembaikan kabel internet dasar laut, tiba di kemuncaknya malam ini.

Dua seteru politik itu mengambil bahagian dalam debat pada jam 9.30 malam yang disiarkan di Astro Awani dan TV8, serta di platform media sosial TV3.

Kedua-dua mereka sebelum ini saling mencabar untuk berdebat tentang dasar kabotaj sejak Wee membatalkan pengecualian kabotaj kepada kapal asing yang terlibat dalam pembaikan kabel internet dasar laut.

Pengecualian tersebut merupakan dasar yang diperkenalkan Pakatan Harapan (PH) semasa ia mentadbir negara, tetapi dibatalkan Wee pada tahun lalu selepas Perikatan Nasional (PN) mengambil alih Putrajaya.

Hal ini menyebabkan Lim dan beberapa pemimpin PH mengkritik Wee, dan mendakwa keputusan itu menyebabkan gergasi teknologi menjauhkan diri dari Malaysia.

Ekoran pembatalan itu, Facebook, Google, Microsoft dan MyIX merayu kepada perdana menteri ketika itu Muhyiddin Yassin untuk mengembalikan pengecualian berkenaan.

Menurut mereka pengecualian tersebut penting bagi memastikan kerja pembaikan dapat dilakukan pada waktu singkat serta meminimumkan tempoh gangguan internet.

Dakwa mereka, hanya ada satu syarikat tempatan yang berkemampuan untuk melakukan kerja-kerja pembaikan, justeru dasar itu akan membawa kepada masalah monopoli.

Bagaimanapun, Wee tetap bertegas untuk mengenakan semula dasar kabotaj. Dia juga bertegas bahawa dasar kabotaj tidak akan memberi kesan kepada pelaburan teknologi dan betapa pentingnya untuk melindungi industri perkapalan tempatan.

Presiden MCA itu mendakwa keputusan Facebook dan Google untuk tidak melibatkan Malaysia dalam projek kabel internet bawah laut tidak ada kaitan dengan dasar kabotaj kerajaan terhadap kapal asing yang melakukan kerja pembaikan.

Sebaliknya, kata Wee, alasan Singapura dipilih adalah kerana Facebook membina pusat data di Tanjung Kling Data Center Park di negara pulau itu.

Pertikaman lidah di antara Wee dan Lim - yang kebanyakannya berlaku melalui laporan berita dan hantaran media sosial - akhirnya terheret ke Dewan Rakyat apabila mereka saling mencabar untuk berdebat berhubung isu itu.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Azhar Harun menawarkan diri untuk mendapatkan kemas kini daripada Wee berhubung pelawaan debatnya terhadap Lim.

Lim turut mendakwa Wee mengelirukan Parlimen, selepas kenyataan di Dewan Rakyat dikatakan bercanggah dengan kenyataan Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa, yang berkata Facebook dan Google tidak melibatkan Malaysia dalam projek Apricot disebabkan isu pengecualian dasar kabotaj yang tidak dapat diselesaikan.

Insiden itu menyebabkan Azhar mengarahkan Wee untuk memberikan penjelasan, selepas Lim mengemukakan usul merujuk Wee ke ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan atas alasan mengelirukan Dewan Rakyat.