Skip to main
Logo Malaysiakini

Peguam rayu Singapura ringankan hukuman mati rakyat Malaysia

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Kumpulan peguam merayu kepada Presiden Singapura Halimah Yaacob dan Perdana Menteri Lee Hsien Loong untuk meringankan hukuman mati yang dikenakan ke atas seorang warga Malaysia Nagaenthran K Dharmalingam.

Ahli-ahli Majlis Peguam Malaysia berkumpul di hadapan Suruhanjaya Tinggi Singapura di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur tengah hari tadi untuk menyerahkan memorandum rayuan berkenaan.

Ia ditandatangani bersama oleh Majlis Peguam Malaysia, Persatuan Peguambela Sarawak, serta Sabah Law Society.

Menurut Presiden Majlis Peguam AG Kalidas, surat itu diterima sendiri oleh Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia Vanu Gopala Menon.

Dalam surat tersebut mereka merayu agar kerajaan Singapura menggunakan sikap belas kasihan dalam kes berkenaan.

Kata kumpulan peguam terbabit, mereka kecewa dengan sikap membisu kerajaan Malaysia berhubung isu berkenaan, sedangkan ia baru sahaja menduduki kerusi dalam Majlis Hak Asasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

“Soalan kami buat kerajaan Malaysia: apa yang akan kamu lakukan tentang hal ini?

“Kami tidak mendengar apa-apa daripada kerajaan Malaysia tentang sebarang usaha untuk cuba, dan sekurang-kurangnya untuk campur tangan, bagi pihak Nagaenthran,” kata pengerusi bersama jawatankuasa perlembagaan Majlis Peguam Andrew Khoo kepada pemberita.

Mereka mendesak Putrajaya menegakkan komitmennya sebagai ahli Majlis Hak Asasi Manusia PBB dan bertindak pantas bagi menghalang hukuman ke atas Nagaenthran.

Nagaenthran disabitkan bersalah di Singapura kerana menyeludup 42.27gram diamorphine, yang lebih dikenali sebagai heroin, pada 2011.

Bagaimanapun, pasukan pembelaan Nagaenthran dilaporkan membangkitkan berkenaan kecacatan mentalnya selepas sabitan itu.

Dia didiagnosis oleh pakar perubatan dengan ketidakupayaan intelek pinggiran (borderline intellectual disability) dengan IQ 69 iaitu lebih rendah daripada IQ purata manusia biasa antara 85-115.

Kumpulan itu turut menegaskan, Singapura merupakan penandatangan Konvensyen PBB Mengenai Hak-Hak Orang Kurang Upaya, dan berhujah bahawa membiarkan seorang kurang upaya intelek menjalani hukuman mati adalah bertentangan dengan statut berkenaan.

Nagaenthran dijadualkan menjalani hukuman mati pada 10 Nov ini.

Keluarganya turut berkongsi kes berkenaan kepada Malaysiakini dan berharap agar kerajaan Singapura dapat menyelamatkan nyawa Nagaenthran.

[Baca laporan asal]