Skip to main
Logo Malaysiakini

Keputusan PAS bukti keyakinan pada perjuangan PN

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

PRN MELAKA | Keputusan PAS menggunakan lambang Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka membuktikan keyakinan parti itu terhadap wadah perjuangan gabungan tersebut.

Naib Presiden Bersatu Mohd Rafiq Naizamohideen berkata ini kerana PN merupakan satu tawaran baru kepada rakyat pelbagai kaum dan akan memberi perkhidmatan terbaik.

"Kita (akan) sentiasa bekerjasama dan bermesyuarat bagi memastikan jentera dapat digembleng secara maksimum untuk memastikan prestasi PN pada PRN dapat mencapai tahap membanggakan," katanya kepada pemberita hari ini.

Semalam, Presiden PAS Abdul Hadi Awang memaklumkan parti itu akan menggunakan lambang PN bagi menghadapi PRN Melaka selepas perkara tersebut diluluskan oleh Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.

Mohd Rafiq yang juga Pengerusi PN Melaka ketika mengulas mengenai calon yang akan diketengah parti itu berkata ia akan diumumkan oleh pengerusi gabungan tersebut Muhyiddin Yassin.

"Ketika itu, rakyat boleh menilai calon dan juga (melihat pecahan) jumlah kerusi yang akan ditandingi nanti," katanya.

Pada 22 Okt lepas, Muhyiddin dipetik sebagai berkata PN dijangka bertanding di semua 28 kerusi pada PRN Melaka.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada 20 Nov manakala penamaan calon pada 8 Nov dan undi awal pada 16 Nov.

PRN itu diadakan ekoran pembubaran dewan undangan negeri (DUN) pada 4 Okt lepas susulan empat Adun menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Melaka Sulaiman Md Ali.

Mereka ialah Idris Haron (BN-Sungai Udang), Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas).

- Bernama