Skip to main
Logo Malaysiakini

70 kematian baru akibat Covid-19

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Repositori data Github Kementerian Kesihatan melaporkan sejumlah 70 kematian akibat Covid-19 semalam, menjadikan jumlah kumulatif kematian 29,045.

Malaysia mempunyai jumlah kematian per kapita tertinggi di rantau Asean dan Asia Timur dengan 876 kematian bagi setiap 1 juta penduduk.

Daripada jumlah kematian yang baru dilaporkan semalam, 15 meminggal dunia sebelum mendapat rawatan di hospital.

Sarawak mencatatkan jumlah kematian baharu tertinggi iaitu 18 orang.

Kes kematian selebihnya di Kelantan (11), Selangor (11), Pulau Pinang (8), Kedah (6), Perak (5), Johor (4), Sabah (4), Pahang (1), Terengganu (1) dan Kuala Lumpur (1).

Tiada kematian baru dilaporkan di Melaka, Negeri Sembilan, Perlis, Labuan dan Putrajaya.

Sebanyak 69 daripada 70 kematian yang dilaporkan berlaku dalam tujuh hari terakhir.

Baki kematian berlaku lebih seminggu lalu tetapi hanya direkodkan semalam kerana kelewatan dalam pelaporan data.

Purata 79 kematian Covid-19 dilaporkan setiap hari dalam tempoh 30 hari lalu berbanding purata tujuh hari sebanyak 67, menunjukkan aliran menurun.

Setakat semalam, terdapat 66,862 kes aktif Covid-19. Ini adalah pengurangan sebanyak 8.7 peratus daripada 73,258 jangkitan aktif seminggu lalu.

Berbanding 30 hari lalu, jumlah kes aktif telah menurun sebanyak 55.5 peratus daripada 150,318.

Jangkitan berkaitan kluster

Kemas kini selepas tengah malam Kementerian Kesihatan juga memberikan maklumat lanjut mengenai jangkitan baru Covid-19 semalam.

Daripada 5,071 kes baru semalam, sebanyak 146 daripadanya boleh dikesan kepada kluster Covid-19 sedia ada.

Daripada kes berkaitan kluster, 121 (82.9 peratus) adalah dari tempat kerja manakala 15 (10.3 peratus) adalah daripada penularan komuniti.

Tujuh lagi (4.8 peratus) adalah daripada kluster yang dikaitkan dengan institusi pendidikan.

Baki kes dikesan kepada kluster berkaitan kumpulan berisiko tinggi seperti rumah orang tua (3 - 2.1 peratus).

Sebelum ini, Kementerian Kesihatan mengeluarkan statistik kematian berserta jumlah kes baharu Covid-19 pada sebelah petang. Ini telah berubah sejak itu.

Statistik kematian kini dikeluarkan selepas tengah malam bersama dengan data lain yang lebih terperinci.

Malaysiakini melaporkan mereka pada waktu pagi.