Skip to main
Logo Malaysiakini

Mahkamah benarkan permohonan semakan tempoh pelepasan pasport Najib

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Najib Razak untuk menyemak tempoh pelepasan sementara pasportnya kepada 6 Dis.

Panel tiga hakim ini, dipengerusikan oleh hakim Kamaludin Md Said, memberi kebenaran kepada permohonan bekas perdana menteri itu kerana tiada bantahan dibangkitkan oleh timbalan pendakwa raya Shafiq Hasim.

Panel hakim lain hari ini ialah hakim Nordin Hassan dan Hashim Hamzah.

Pada mulanya, pada 18 Okt, Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan pelepasan sementara pasport Najib supaya dia boleh berada di Singapura untuk memberi sokongan kepada bakal anak perempuannya, Nooryana Najwa yang bakal bersalin. Tempoh yang diberikan adalah dari 20 Okt hingga 22 Nov.

Bagaimanapun, kemudian pada 26 Okt, Najib dibenarkan oleh tiga panel hakim berasingan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk melanjutkan tempoh pelepasan pasport sementara kepada 6 Dis.

Sebelum ini, dilaporkan Najib memohon pelanjutan kerana dia perlu menguruskan jentera parti BN untuk pilihan raya negeri (PRN) Melaka pada 20 Nov terlebih dahulu, kemudian keesokan harinya ke Singapura untuk memberi sokongan kepada Nooryana, yang dijangka melahirkan anak keduanya.

Permohonan semakan hari ini di hadapan Mahkamah Rayuan adalah untuk melanjutkan tempoh pelepasan pasport kepada 6 Dis.

Semasa prosiding hari ini, Kamaludin mengingatkan peguam bela Najib, Muhammad Farhan Muhammad Shafee bahawa pihak mahkamah tidak akan membenarkan permohonan pelepasan pasport sedemikian dengan mudah melainkan alasan yang kukuh diberikan.

Hakim menyatakan bahawa panel hari ini membenarkan semakan pada tempoh pelepasan pasport hanya kerana tiada bantahan yang dibangkitkan oleh DPP, berikutan pihak pendakwaan telah meneliti kertas kausa.

“Ini adalah kali kedua anda dihadapkan ke Mahkamah Rayuan. Kali pertama (alasan yang disebut untuk pelepasan sementara pasport Najib) adalah untuk melawat Singapura (untuk memberi sokongan kepada Nooryana).

“Kemudian sekarang (pasukan pertahanan Najib memetik) pilihan raya (Melaka) (untuk semakan pelepasan pasport sementara).

“Kita perlu ingatkan bahawa mahkamah tidak akan membenarkan permohonan sedemikian dengan mudah.

“Kali pertama, ada (disebut) sebab mendesak (pergi ke Singapura untuk menyokong Nooryana). Tetapi sekarang sebabnya telah berubah.

“Hari ini, kami dapati penjelasan adalah munasabah, dan DPP telah mengesahkan ia munasabah dan tiada bantahan.

“Jadi mahkamah membenarkan permohonan ini. Pasport mesti dipulangkan selewat-lewatnya pada 6 Dis,” kata Kamaludin.

Mahkamah memegang pasport Najib kerana pelbagai kes jenayah yang belum selesai terhadapnya.

Selain kes rasuah SRC International bernilai RM42 juta, yang mana dia telah disabitkan dan dijatuhkan hukuman (dan sedang dalam proses rayuan di hadapan Mahkamah Rayuan), Najib juga mempunyai tiga lagi kes jenayah yang belum selesai di hadapan tiga hakim Mahkamah Tinggi yang berasingan di Kuala Lumpur .

Najib sedang menjalani perbicaraan untuk kes rasuah RM2.28 bilion 1MDB di hadapan hakim Collin Lawrence Sequerah, dan satu lagi perbicaraan di hadapan hakim Mohamed Zaini Mazlan kerana dakwaan terlibat dalam pindaan laporan audit 1MDB.

Ahli Parlimen Pekan itu juga mempunyai kes tertangguh yang belum dibicarakan lagi, membabitkan dakwaan pecah amanah jenayah sebanyak RM6.6 bilion dana kerajaan yang dikaitkan dengan pembayaran Syarikat Pelaburan Petroleum Antarabangsa (IPIC), di hadapan hakim Muhammad Jamil Hussin.

Baru-baru ini, mahkamah berasingan turut memberi kebenaran pada pelepasan pasport sementara untuk tiga lagi tertuduh yang masih menjalani perbicaraan atas pelbagai kesalahan jenayah, iaitu isteri Najib, Rosmah Mansor, peguamnya Muhammad Shafee Abdullah, dan bekas timbalan perdana menteri Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan pendakwa raya Mohd Ashrof Adrin Kamarul, Mohamad Mustaffa P Kunyalam dan Shafiq Hasim tidak mengemukakan sebarang bantahan sepanjang tiga prosiding berasingan itu.