Skip to main
Logo Malaysiakini

Kerajaan bertekad jadikan menghendap sebagai jenayah

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Kerajaan bertekad untuk menjenayahkan kegiatan menghendap - ataupun “stalking” menjelang tahun ini, menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Mas Ermieyati Samsudin.

Dalam satu kenyataan hari ini, Mas Ermieyati berkata bahawa kertas dasar dan cadangan pindaan undang-undang dijangka dibentangkan kepada kabinet pada Disember, dan akan dibentangkan di Parlimen susulan kelulusan jemaah menteri.

Semalam, satu mesyuarat telah diurusetiakan oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-undang Jabatan Perdana Menteri dan dihadiri oleh agensi kerajaan termasuk Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Peguam Negara, Majlis Peguam Malaysia dan wakil daripada NGO termasuk Pertubuhan Bantuan Wanita (WAO), serta ahli akademik.

“Usaha untuk menjadikan menghendap sebagai satu jenayah telah bermula sejak tahun 2019 di mana satu Jawatankuasa Anti-Stalking telah ditubuhkan.

“Sejak awal 2020, draf pindaan undang-undang (pindaan kepada Kanun Keseksaan dan Kanun Tatacara Jenayah) telahpun disediakan oleh Jawatankuasa Anti-Stalking, yang diterajui Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang dengan penglibatan agensi-agensi kerajaan lain dan NGO.

“Kerajaan memberikan komitmen agar menghendap dijadikan sebagai satu jenayah di Malaysia,” kata Mas Ermieyati pada mesyuarat itu.

Tambahnya, sehingga isu itu dibentangkan kepada kabinet, dia berhasrat untuk mengadakan pertemuan dengan ahli parlimen, agensi kerajaan dan NGO yang berkaitan untuk memberi gambaran kepada orang ramai tentang tindakan menghendap dan kesannya kepada masyarakat.

Tinjauan 2020 yang dijalankan oleh WAO mendedahkan bahawa walaupun lebih ramai wanita menjadi mangsa menghendap daripada lelaki, pengalaman lelaki adalah jauh lebih berbahaya kerana ia melibatkan ancaman bahaya atau bahaya sebenar.

Tinjauan 'Memahami Pengalaman Menghendap Rakyat Malaysia' membabitkan 1,008 responden. 51 peratus daripada mereka adalah wanita, dan 49 peratus pula lelaki.

Secara keseluruhan, 88 peratus responden mengalami pengalaman yang dikaitkan dengan menghendap, dengan 34 peratus mengalaminya pada 2020.

WAO sebelum ini berkata bahawa undang-undang anti-menghendap bukan sahaja akan memberi perlindungan kepada mangsa, tetapi juga akan meningkatkan kesedaran masyarakat tentang mengintai.