Skip to main
Logo Malaysiakini

Ahmad Marzuk harap negeri lain contohi Kelantan

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Kerajaan berharap Kelantan dapat dijadikan contoh oleh negeri lain dalam usaha mereka memperkasa undang-undang syariah, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Ahmad Marzuk Shaary.

Kenyataan itu dibuat susulan langkah Kelantan menguatkuasakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019 selepas mendapat perkenan daripada Sultan Muhammad V.

"Kerajaan memandang positif pelaksanaan ini yang sudah pasti akan menjadi pemula kepada penaiktarafan dan pemerkasaan perundangan syariah di Malaysia.

"Diharapkan usaha dan aspirasi ini dapat menjadi contoh dan seterusnya diikuti oleh negeri-negeri lain dalam memartabatkan undang-undang syariah di bumi Malaysia yang tercinta," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Terdahulu Malaysiakini melaporkan Kelantan menguatkuasakan enakmen tersebut bermula 1 Nov sebagai langkah menambah baik Enakmen Jenayah Syariah 1985. 

Enakmen baru itu antara lain menambah 24 seksyen baru bagi kesalahan syariah berbanding apa yang sedia ada.

Ahmad Amrzuk berkata, usaha berkenaan adalah batu loncatan pertama dalam memperkasa dan menaik taraf perundangan syariah di Kelantan.

Sudah pasti, katanya, Enakmen Kanun Jenayah Syariah itu melalui berbagai fasa kajian dan penelitian, agar ia bersesuaian dengan perkembangan masyarakat pada hari ini.

"Antara perubahan terbesar dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019 yang berbeza dari sebelumnya, Enakmen ini mempunyai 24 peruntukan baru yang sebelum ini tidak ada dalam enakmen yang terdahulu.

"Antara peruntukan baru dalam enakmen ini adalah adanya peruntukan khusus berkenaan kesalahan sihir, pendakwaan palsu, persetubuhan dengan mayat serta bukan manusia, memutarbelitkan ajaran Islam, muamalat yang berlawanan dengan hukum serta penyalahgunaan tanda halal," katanya.

Tambah Anggota Parlimen Pengkalan Chepa itu lagi perundangan syariah terletrak bawah bidang kuasa negeri mengikut Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya, segala pindaan terhadap undang-undang syariah negeri, termasuk Enakmen Kanun Jenayah Syariah harus dilakukan oleh negeri melalui dewan undangan negeri.

"Di peringkat kerajaan persekutuan, kita memainkan peranan bagi menyelaras dan menggerakkan pemerkasaan undang-undang syariah mengikut bidang kuasa yang ditetapkan melalui perbincangan secara bersama dengan negeri-negeri, mesyuarat-mesyuarat Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Islam di Malaysia (MKI), serta perundingan Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Syarak dan Sivil di bawah Jakim.

"Kerajaan persekutuan amat mengalu-alukan sebarang usaha yang dilakukan kerajaan negeri, dalam menaiktaraf perundangan syariah di negeri masing-masing," kata Ahmad Marzuk.