Skip to main
Logo Malaysiakini

600,000 isi rumah M40 jatuh ke kategori B40 akibat pandemik

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Kira-kira 600,000 isi rumah daripada kumpulan berpendapatan sederhana (M40) telah jatuh ke dalam kumpulan berpendapatan rendah (B40) akibat wabak Covid-19.

Perkara itu didedahkan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab bagi Hal Ehwal Ekonomi Eddin Syazlee Shith, yang menjawab soalan Cha Kee Chin (PH-Rasah) di Dewan Rakyat hari ini.

“Jabatan Perangkaan menganggarkan 20 peratus atau kira-kira 600,000 isi rumah daripada kumpulan M40 telah jatuh ke dalam kumpulan B40 akibat pandemik Covid-19.

“Pada masa ini, pengkategorian kumpulan pendapatan masih relevan, dengan fokus kepada kumpulan B40 dan kumpulan M1, iaitu 10 peratus terbawah kumpulan M40,” kata Eddin.

Timbalan menteri juga berkata hanya 14 peratus daripada kumpulan M1 layak menerima bantuan tunai terus Bantuan Keluarga Malaysia (BKM), yang diumumkan di bawah Belanjawan 2022.

Ini kerana pendapatan isi rumah bagi kumpulan M1 berkisar antara RM4,850 dan RM5,880 sebulan, manakala hanya mereka berpendapatan bawah RM5,000 sebulan layak menerima bantuan BKM, katanya.

Eddin juga berkata purata pendapatan isi rumah secara keseluruhan telah menurun 10.3 peratus antara tahun 2019 dan 2020, menurut kajian Jabatan Perangkaan.

Bagaimanapun, beliau berkata penyelidikan itu telah mengekalkan garis kemiskinan 2019.

Tambah Eddi, kerajaan akan mengkaji semula garis kemiskinan dan klasifikasi pendapatan pada 2022, bersama-sama dengan tinjauan pendapatan dan perbelanjaan isi rumah dan tinjauan kemudahan asas.

"Penemuan kajian komprehensif akan digunakan untuk memastikan penyampaian perkhidmatan kerajaan yang disasarkan yang relevan dengan situasi sosioekonomi semasa," kata Eddin.