Skip to main
Logo Malaysiakini

Apa jadi dengan pendedahan Hamid Bador, tanya Mat Sabu

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

PARLIMEN | Belum ada nampak sebarang langkah serius diambil kerajaan bagi menyiasat dakwaan dibuat Abdul Hamid Bador berkenaan amalan rasuah dam kalangan pemimpin politik, kata Mohamad Sabu.

Menurut ahli parlimen Kota Raja itu dakwaan mengenai amalan tersebut bukanlah dibuat oleh orang sembarangan sebaliknya ketua polis negara lebih setahun lalu.

"Abdul Hamid ni bukan sekadar polis di Gua Musang atau korporal polis di Tawau. Dia ialah IGP (ketua polis negara) yang mendedahkan bagaimana rasuah dan penyelewengan berlaku dalam kalangan pemimpin politik termasuk parti lebai.

"Sampai sekarang dah setahun lebih pendedahan daripada Abdul Hamid tapi saya tak nampak ada penyiasatan yang serius dan diberitahu kepada parlimen," katanya semasa membahaskan Belanjawan 2022 hari ini.

Di hari-hari terakhir perkhidmatannya sebagai ketua polis negara, Abdul Hamid mengadakan sidang media di Bukit Aman dan membuat pendedahan mengenai beberapa isu.

Antaranya bekas pegawai kanan Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat amalan rasuah dalam kalangan orang politik, termasuk yang berpaling tadah meninggalkan parti asal mereka.

"Saya lawan rasuah dalam pasukan (polis), tapi saya tengok rasuah merata-rata dalam politik mabuk kuasa.

"Sekejap 'katak' melompat sana, sekejap berbunyi sana, apa itu? Rasuah," katanya dalam sidang media pada 30 April lalu. 

Imej sudah tercemar

Abdul Hamid yang dilantik menjadi ketua polis negara semasa Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan juga mempunyai hubungan yang tegang dengan Hamzah Zainudin yang dilantik menjadi Menteri Dalam Negeri kerajaan Perikatan Nasional kemudiannya.

Untuk rekod PDRM terletak di bawah Kementerian Dalam Negeri. Hamzah ialah ahli parlimen Larut yang memenangi kerusi parlimen itu melalui tiket BN namun menyertai Bersatu selepas PRU ke-14. Dia kemudian dilantik menjadi setiausaha agung Bersatu.

Mohamad berkata andainya kerajaan menganggap Abdul Hamid berbohong atau bercakap kosong sudah tentu ada tindakan pendakwaan diambil ke atas bekas ketua polis negara terbabit.

Tambahnya, Abdul Hamid juga mendakwa wujud kartel tertentu dalam PDRM namun ia juga tidak dilihat tidak disiasat.

Presiden Amanah itu juga menambah kini ada dakwaan lain melibatkan pasukan PDRM seperti amalan membeli pangkat dan jawatan dengan bayaran tertentu.

Keadaan itu katanya mendorong seorang lagi bekas ketua polis negara, Musa Hassan, menggesa agar dakwaan berkenaan disiasat.

"Betulkah ini?

"[...] Kalau ianya fitnah, mesti diambil tindakan ke atas pihak yang dedahkan hal ini. Kalau ia betul, imej pasukan polis sudah tercemar.

"Inilah yang kita lihat sehingga bekas IGP Musa Hassan terpanggil untuk bercakap hal ini," katanya.