Skip to main
Logo Malaysiakini

'Kerajaan hina mahkamah' jika laksana Undi18 tahun depan - Peguam

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Kerajaan persekutuan berisiko menghina mahkamah jika ia hanya melaksanakan pindaan perlembagaan untuk menurunkan umur mengundi di seluruh negara pada tahun depan, menurut peguam Simon Siah.

Pengamal undang-undang itu telah mewakili lima pemuda Sarawak, yang berjaya dalam cabaran undang-undang mereka di Mahkamah Tinggi Kuching yang mengeluarkan perintah supaya kerajaan menurunkan had umur mengundi daripada 21 kepada 18, menjelang 31 Dis tahun ini.

“Ya, ia akan menghina mahkamah jika ia tidak dilaksanakan selewat-lewatnya pada 31 Dis 2021,” kata Siah kepada Malaysiakini petang ini.

Peguam itu mengulas jaminan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob pada 30 Okt dilaporkan berkata penurunan umur mengundi bagi rakyat Malaysia akan bermula dari 1 Jan tahun depan.

Siah turut mengulas laporan berita Menteri di Jabatan Perdana Menteri Wan Junaidi Tuanku Jaafar (gambar, bawah) yang memberitahu Dewan Rakyat bahawa pindaan Perlembagaan Persekutuan, berkaitan penurunan umur mengundi, tidak boleh dilaksanakan serta-merta selepas rang undang-undang itu dibuat selepas RUU itu diluluskan pada 2019 kerana beberapa perkara perlu diselesaikan terlebih dahulu.

Wan Junaidi, yang portfolionya merangkumi parlimen dan undang-undang, memberitahu Dewan Rakyat bahawa beberapa isu, termasuk pendaftaran pengundi, mesti diteliti, bagi memastikan pelaksanaannya berjalan lancar.

Pindaan berkaitan Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan telah diluluskan semasa pentadbiran Pakatan Harapan dua tahun lalu. Pindaan itu melalui Seksyen 3 Akta Perlembagaan (Pindaan) 2019.

Menurut salinan perintah mahkamah Kuching bertarikh 3 Sept, perintah certiorari dikeluarkan untuk membatalkan keputusan ketiga-tiga responden bagi menangguhkan pelaksanaan Seksyen 3 sehingga selepas 22 Sept tahun depan.

Tiga responden yang menjadi sasaran semakan kehakiman berkenaan ialah perdana menteri (yang tidak dinamakan), kerajaan Malaysia dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Perintah mahkamah juga mengarahkan responden mengambil semua langkah yang perlu untuk Seksyen 3 berkuat kuasa secepat mungkin, selewat-lewatnya pada 31 Dis tahun ini.

Dilaporkan juga bahawa kerajaan tidak memfailkan rayuan terhadap keputusan mahkamah penting itu

Pesuruhjaya kehakiman Alexander Siew How Wai pada 3 Sept lalu membenarkan permohonan semakan kehakiman oleh lima anak muda yang dinamakan kumpulan Undi Sarawak untuk menggesa kerajaan persekutuan melaksanakan penurunan usia mengundi dari 21 kepada 18 tahun.

Siew berkata Kerajaan Persekutuan telah memberi jaminan pada awal tahun ini bahawa usia mengundi akan dilaksanakan menjelang Julai tahun ini.

Pesuruhjaya kehakiman itu juga menyatakan bahawa jaminan itu dibuat walaupun terdapat pengakuan yang bercanggah oleh pasukan responden dalam proses kehakiman, di mana pelaksanaannya hanya dapat dilakukan pada tahun depan.

Siew merujuk kepada pelbagai kenyataan media oleh SPR yang dikeluarkan tahun lalu dan kenyataan menteri di jabatan perdana menteri (parlimen dan undang-undang) ketika itu, Takiyuddin Hassan pada Mei lepas mengenai penurunan usia mengundi boleh dilakukan pada bulan Julai tahun ini .

Pada 2 Mei, Bernama melaporkan Takiyuddin memberi jaminan undi 18 dijangka dilaksanakan tahun ini.

Namun dalam pendengaran semakan kehakiman sebelum ini di Mahkamah Tinggi Kuching, Jabatan Peguam Negara (AGC) yang mewakili kerajaan, berpendapat bahawa pelaksanaan pindaan perlembagaan untuk menurunkan usia mengundi memerlukan pindaan terhadap undang-undang.

[Baca laporan penuh]