Gelang kerjasama: Tak semudah difahami PAS, kata Bersatu
PRN MELAKA | Walaupun PAS tekal dengan menawarkan pelbagai cara untuk mempertaut Bersatu dan Umno, belum ada reaksi yang 'hangat' ditunjukkan terhadap inisiatif tersebut.
Misalnya Bersatu mengingatkan langkah tersebut tidaklah semudah yang disangka PAS.
Anggota Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Dr Muhammad Faiz Na'aman berkata partinya memang menghormati sikap optimis pemimpin PAS itu namun pada hakikatnya ia lebih rumit.
Katanya sesetengah pemimpin Umno di pelbagai peringkat memiliki ego yang sangat tinggi.
"Pada prinsipnya saya menyokong sebarang usaha penyatuan parti-parti berasaskan Melayu-Islam.
"Tetapi saya selaku salah seorang pemimpin Bersatu juga tidak mahu kami dikhianati dan dibuli oleh golongan prokluster mahkamah dalam Umno yang telah menjatuhkan Ahmad Faizal Azumu di Perak dan Muhyiddin Yassin selaku perdana menteri," katanya kepada Malaysiakini.
Muhyiddin merupakan presiden Bersatu yang dijatuhkan oleh sesetengah ahli parlimen Umno dalam gerakan mereka menarik balik sokongan di parlimen pada Ogos lalu.
Anggap cadangan peribadi saja
Sebelum itu Ahmad Faizal lebih awal disingkirkan dari jawatan menteri besar Perak pada minggu pertama Dis tahun lalu.
Semalam ahli Jawatankuasa Pusat PAS Nasrudin Hassan menawarkan "gelang kerjasama" untuk mendamaikan Umno dan Bersatu sekali gus mengelak berlaku pertembungan tiga penjuru dalam pilihan raya negeri (PRN) di Melaka pada 20 Nov ini.
Nasrudin juga menyatakan langkah PAS menggunakan logo Perikatan Nasional (PN) itu nanti adalah langkah ijtihad politik semasa mereka bagi menghadapi Pakatan Harapan (PH).
Sementara itu seorang lagi anggota MPT Bersatu Razali Idris menegaskan tiada lagi perbincangan di antara partinya dengan Umno selepas Umno menolak kerjasama.
Justeru katanya tawaran dibawa Nasrudin itu dilihat hanya bersifat peribadi.
"Maka Bersatu dah tak nak fikir lagi pasal Umno, pasal kerjasama dengan Umno, sebaliknya kami nak teruskan pengagihan kerusi dalam PN dan strategi untuk menang PRN," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.
Justeru kata Razali Bersatu berharap rakyat Melaka dapat melihat dan menilai sendiri parti mana yang bertanggunjawab meruntuhkan kerajaan Melaka baru-baru ini sehingga memaksa PRN diadakan.
"Sekarang tidak ada masa lagi buat Bersatu untuk berbincang tentang apa-apa pun dengan Umno. Kita teruskan sajalah, kita tidak ada salah pun," katanya sambil menegaskan mereka juga bersedia menghadapi pertembungan tiga penjuru atau lebih pada 20 Nov nanti.
Pada masa sama Razali berkata terpulang kepada Nasrudin jika pemimpin kanan PAS itu masih mahu terus mengusahakan "gelang kerjasama" diilhamkannya.
"Selepas PAS Pusat bersetuju untuk menggunakan logo PN, itu memberi petunjuk yang jelas bahawa kita perlu teruskan agenda kita untuk PRN Melaka dengan kesepakatan Bersatu, PAS, Gerakan serta parti-parti lain di Sabah dan Sarawak.
"Tapi kalau Nasrudin nak runding lagi, biarlah dia berunding.
"Kalau Umno tidak mahu bertembung maka berbincanglah mengenai pengagihan kerusi dengan adil, jangan memperlekehkan orang lain," katanya.
Malaysiakini dalam usaha mendapatkan respon kepimpinan Umno berhubung tawaran "gelang kerjasama" tersebut.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai