Skip to main
Logo Malaysiakini

Lebih 125,000 belia S'wak hilang hak mengundi jika PRN tahun ini, kata Undi18

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Keputusan untuk mengadakan pilihan raya negeri (PRN) Sarawak sebelum pelaksanaan Undi18 adalah keputusan pramatang yang mengabaikan hak mengundi belia Sarawak, kata Persatuan Pengundi Muda (Undi18) dan Undi Sarawak.

Kedua-dua kumpulan itu dalam satu kenyataan bersama petang tadi berkata dianggarkan 125,000 hingga 135,000 belia di negeri itu akan dinafikan hak mereka sekiranya PRN Sarawak diteruskan.

“Keputusan untuk mengadakan PRN sebelum pelaksanaan Undi18 adalah keputusan pramatang yang mengabaikan hak mengundi belia Sarawak.

“Mahkamah pada September mengarahkan kerajaan persekutuan melaksanakan 18 tahun sebagai umur minimum mengundi baru sebelum akhir tahun ini

“Keperluan keputusan (ini) adalah untuk memastikan belia Sarawak, khususnya, layak mengundi pada PRN akan datang.

“Membubarkan Dewan Undangan Negeri Sarawak tahun ini akan melucutkan hak 125,000 hingga 135,000 pengundi belia Sarawak," kata kumpulan itu.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan menamatkan proklamasi darurat di Sarawak yang berkuat kuasa sejak 2 Ogos lalu.

Ini akan membuka jalan supaya pilihan raya negeri dapat diadakan dalam tempoh tempoh 60 hari dari tarikh hari ini.

DUN Sarawak sepatutnya terbubar pada 7 Jun lalu selepas cukup lima tahun dari tarikh mesyuarat pertamanya diadakan.

Bagaimanapun peruntukan itu tidak dapat berkuat kuasa disebabkan pelaksanaan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 akibat penularan wabak Covid-19 yang melanda seluruh dunia tahun lalu dan juga tahun ini.

Menurut Istana Negara dalam satu kenyataan, permohonan bagi menamatkan proklamasi itu dibuat oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Abdul Taib Mahmud ketika menghadap Seri Paduka di Kuala Lumpur, semalam.

Ini selaras dengan Seksyen 2 Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) (Sarawak) 2021 yang menyatakan proklamasi darurat boleh ditamatkan lebih awal oleh Yang di-Pertuan Agong setelah berunding dengan Yang di-Pertua Negeri Sarawak.

Mengulas lanjut kedua-dua pergerakan itu menggesa kerajaan negeri untuk mempertimbangkan semula sebarang rancangan untuk mengadakan pilihan raya negeri dalam tahun ini.

Kata kedua-dua pergerakan itu, ia penting memandangkan negara masih belum bebas daripada pandemik Covid-19.

"Malaysia kini berada di peringkat pemulihan Covid-19. Bagaimanapun, wabak itu masih belum selesai. Sarawak masih berdepan purata 500 kes baharu setiap hari dan lebih 10 kematian setiap hari.

“Walaupun kami sangat menyokong proses demokrasi, Perlembagaan Persekutuan menyediakan beberapa langkah sementara pada masa darurat untuk menangguhkan pilihan raya.

“Tambahan pula, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) masih belum membuat rancangan berbeza secara drastik untuk memastikan prosedur kempen lebih selamat,” kata dua kumpulan itu sambil menambah SPR masih belum mengumumkan prosedur operasi standard (SOP) bagi pilihan raya Melaka yang akan diadakan pada 20 November.