Skip to main
Logo Malaysiakini

46 kematian baru akibat Covid-19

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Repositori data Github Kementerian Kesihatan melaporkan sejumlah 46 kematian akibat Covid-19 semalam (3 Nov), menjadikan jumlah kumulatif kematian kepada 29,091.

Daripada kematian yang baru dilaporkan semalam, 17.4 peratus atau lapan individu meninggal dunia sebelum mendapat rawatan di hospital.

Sarawak mencatatkan jumlah kematian baharu tertinggi iaitu 10, membentuk 21.7 peratus daripada kematian baharu yang dilaporkan.

Kes kematian selebihnya di Kelantan (9), Johor (8), Sabah (4), Kedah (3), Perlis (3), Melaka (2), Pulau Pinang (2), Negeri Sembilan (1), Perak (1) , Selangor (1), Terengganu (1) dan Kuala Lumpur (1).

Tiada kematian baharu dilaporkan di Pahang, Labuan dan Putrajaya.

Sebanyak 42 daripada 46 kematian yang dilaporkan atau 91.3 peratus berlaku dalam tempoh tujuh hari lepas.

Baki kematian berlaku lebih seminggu lalu tetapi hanya direkodkan semalam kerana kelewatan dalam pelaporan data.

Purata 78 kematian Covid-19 dilaporkan setiap hari dalam tempoh 30 hari terakhir berbanding purata tujuh hari sebanyak 60, menunjukkan aliran menurun.

Sehingga semalam, terdapat 67,160 kes aktif Covid-19. Ini adalah pengurangan sebanyak 6.3 peratus daripada 71,713 jangkitan aktif seminggu lalu.

Berbanding 30 hari lalu, jumlah kes aktif telah menurun sebanyak 53.0 peratus daripada 142,861.

 

Kemas kini selepas tengah malam Kementerian Kesihatan juga memberikan maklumat lanjut mengenai jangkitan baharu Covid-19 semalam.

Daripada 5,291 kes baharu semalam, sebanyak 149 daripadanya dapat dikesan kepada kluster Covid-19 yang masih berterusan.

Daripada kes berkaitan kluster, 92 (61.7 peratus) adalah dari tempat kerja manakala 39 (26.2 peratus) adalah daripada penularan komuniti.

Lapan lagi (5.4 peratus) adalah daripada kluster yang dikaitkan dengan institusi pendidikan.

Baki kes dikesan kepada kelompok yang berkaitan dengan acara keagamaan (empat - 2.7 peratus), pusat tahanan (empat - 2.7 peratus) dan kumpulan berisiko tinggi seperti rumah orang tua (dua - 1.3 peratus).

Sebelum ini, Kementerian Kesihatan mengeluarkan statistik kematian berserta jumlah kes baharu Covid-19 pada sebelah petang.

Statistik kematian kini dikeluarkan selepas tengah malam bersama dengan data lain yang lebih terperinci. Malaysiakini melaporkan data itu pada waktu pagi.