2,500 kg botol plastik dipungut dari sungai di Selangor
Kira-kira 2,500 kilogram botol plastik dipungut di Sungai Kandis di Selangor.
Inisiatif Selangor Maritime Gateway (SMG) berkata, projek perintis untuk memungut bahan terapung di sungai itu telah menemukan 2.5 tan metrik (2,500 kilogram) botol plastik hanya dalam tempoh sebulan.
"SMG menjalankan projek perintis bersama Nestle Malaysia Berhad selama lima bulan untuk membersihkan sisa plastik daripada benteng Sungai Kandis (satu daripada tujuh benteng yang dipasang di Sungai Klang untuk memerangkap bahan terapung di bawah projek itu).
"Bagi bulan pertama iaitu Oktober, 2.5 tan metrik botol plastik telah diambil, dibersihkan dan dihantar ke pusat kitar semula.
"Ini bermakna 250,000 botol PET (polietilena tereftalat) tidak dilupuskan di pusat pelupusan sampah," kata SMG dalam kenyataan di Facebook.
SMG adalah inisiatif yang dipelopori andasan Lumayan Sdn Bhd - subsidiari milik Menteri Besar Incorporated.
SMG berkata, jika projek perintis itu terbukti berjaya, pihaknya dan Nestle Malaysia akan meluaskan usaha memulihkan semula sisa di kesemua tujuh benteng di Sungai Klang.
Bagaimanapun, ia menggesa rakyat Malaysia untuk berhenti membuang plastik ke dalam sungai.
"Jadi sementara kami melakukan yang terbaik agar sisa tidak berakhir di pusat pelupusan sampah, kami meminta anda memainkan peranan dengan tidak membiarkan sisa seperti plastik masuk ke sungai kita," katanya lagi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai