'Belanjawan 2022 pinggirkan pekerja kontrak kerajaan'
Belanjawan 2022 yang dibentangkan baru-baru ini disifatkan gagal mengambil kira langkah menangani masalah yang dihadapi pekerja kontrak kerajaan, kata sebuah organisasi akar umbi yang mewakili pekerja.
Walaupun terlibat dengan perbincangan sebelum ini, Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK) berkata kerajaan masih gagal memberi pampasan secukupnya kepada petugas barisan hadapan termasuk tukang cuci, tukang kebun dan perkhidmatan keselamatan di hospital dan sekolah, serta pegawai perubatan kontrak.
"Walaupun bekerja dalam ancaman wabak sebagai pekerja lapisan pertama yang terdedah dengan pesakit dan sisa operasi, jasa mereka tidak dihargai, malah keadaan kerja mereka terus terabai seumpama sistem penghambaan moden.
"Hasil kajian kami telah diserahkan kepada Kementerian Kewangan pada 18 Disember 2020 dan kami juga telah menyalurkan cadangan kami kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Kewangan Dan Ekonomi, tetapi kami tidak melihat sebarang indikasi berkenaan isu ini dalam perutusan oleh Menteri Kewangan pengumuman belanjawan pada Jumaat lepas," kata JPKK dalam satu kenyataan.
Antara lain, mereka berkata kerajaan perlu mematuhi peruntukan di bawah Seksyen 11 Akta Buruh 1955 yang menyatakan bahawa pekerjaan tetap, seperti yang dilakukan oleh kumpulan pekerja, tidak boleh diambil bekerja di bawah sistem kontrak.
Kumpulan itu berkata isu lama yang menjejaskan pekerja pembersihan dan keselamatan kerajaan bermula apabila sistem itu diswastakan pada 1997, mengakibatkan kehilangan jaminan pekerjaan dan kenaikan tahunan di bawah sistem kontrak.
Tambah JPKK, kebanyakannya bekerja dengan gaji minimum, dan perubahan dalam kontraktor swasta setiap dua hingga lima tahun terus memangsakan pekerja.
"Ramai yang bekerja dua dekad di bangunan sama tetapi masih dihantui ancaman diberhentikan kerja diakhir kontrak.
"Gaji mereka pula terikat pada kadar gaji minimum. Masalah bayaran gaji seperti, kiraan OT (kerja lebih masa) dan cuti yang tidak munasabah, selain bayaran lambat berbulan-bulan lamanya, terus berleluasa di seluruh negara.
"Ramai mengadu mereka bekerja tanpa cuti, dan tidak pula mereka diiktiraf sebagai frontliner untuk menikmati elaun istimewa. Ini bukan caranya untuk kita hargai pengorbanan mereka.
“Terdapat ramai yang telah bekerja selama 20 tahun di bangunan yang sama tetapi masih dihantui dengan ancaman kemungkinan ditamatkan pada akhir kontrak mereka," kata JPKK.
Kumpulan itu seterusnya menyatakan bahawa tiada pengumuman dibuat di bawah Belanjawan 2022 untuk kenaikan gaji minimum RM1,200.
Secara keseluruhannya, mereka berkata kementerian berkaitan termasuk Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kesihatan perlu mengambil peranan yang lebih proaktif dalam melindungi hak pekerja kontrak kerajaan.
Pada September lalu, dilaporkan sekumpulan 40 pembersih hospital kontrak yang ditugaskan bertugas di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Ipoh, mengadakan piket di luar kemudahan psikiatri dengan beberapa tuntutan termasuk kenaikan gaji RM30.
Contoh lain termasuk pengawal keselamatan sekolah yang tidak menerima faedah setara dengan 11 tahun pengalamannya kerana dia diminta menandatangani kontrak baharu setiap tiga tahun.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai