Skip to main
Logo Malaysiakini

AMK S'wak: GPS tak peduli keselamatan rakyat demi elak Undi 18

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Pemuda PKR (AMK) Sarawak meluahkan rasa kecewa atas pembatalan darurat Sarawak semalam yang menyebabkan pilihan raya negeri (PRN) perlu diadakan dalam tempoh 60 hari.

Dalam satu kenyataan bersama Ketua AMK Sarawak Saifunnizam Sam dan timbalannya Chiew Choon Man, alasan darurat dibatalkan di Sarawak, tidak lain adalah untuk mengelak pelaksanaan Undi18 - yang dakwa mereka satu keputusan yang tidak memikirkan kepentingan rakyat.

Mereka berkata, ini kerana Sarawak masih diancam varian Delta Covid-19 dan tiada keperluan mendesak untuk membatalkan darurat lebih awal dan mengadakan PRN - berbeza dengan keadaan di Melaka.

“Tindakan ini jelas menafikan hak golongan yang berada dalam lingkungan 18 ke 20 tahun daripada mengundi dalam PRN kali ini. Tiada alasan lain mengapa GPS bertindak sedemikian kecuali takut dan gementar dengan undi anak muda.

“AMK Sarawak juga kecewa terhadap Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg yang lebih mengutamakan percaturan politik daripada kepentingan rakyat dalam membuat keputusan untuk mengadakan pilihan raya negeri dalam masa terdekat ini.

"Tindakan (gabungan pemerintah) GPS ini jelas menunjukan sikap sebenar mereka yang tidak mempedulikan keselamatan rakyat demi mencapai matlamat untuk berkuasa dan menghalang Undi 18 daripada dilaksanakan," kata mereka lagi.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menamatkan proklamasi darurat di Sarawak yang berkuat kuasa sejak 2 Ogos lalu, setelah dipohon oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Abdul Taib Mahmud dan mendapat nasihat Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob.

DUN Sarawak sepatutnya terbubar pada 7 Jun lalu selepas cukup lima tahun dari tarikh mesyuarat pertamanya diadakan.

Bagaimanapun peruntukan itu tidak dapat berkuat kuasa disebabkan pelaksanaan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 akibat penularan wabak Covid-19 yang melanda seluruh dunia tahun lalu dan juga tahun ini.

Proklamasi itu dijadual tamat pada Februari depan. Penurunan had umur layak mengundi pula akan dilaksanakan akhir tahun ini.

Dalam pada itu, mereka menggesa penduduk Sarawak agar berhati-hati dalam menghadapi PRN kali ini, jika tiada cara lain lagi untuk mengelakkannya.

“Sesungguhnya musuh kita yang sebenar bukanlah mana-mana individu atau kelompok politik, tetapi penyakit Covid-19 yang telah mendatangkan malapetaka kepada kita dalam dua tahun ini.”

'Untuk hancurkan DAP'

Dalam perkembangan berkaitan, veteran DAP, Lim Kit Siang mendakwa "kelompok garis keras" dalam kerajaan pimpinan Ismail Sabri Yaakob mahu PRN Melaka dan Sarawak diadakan tahun ini juga bagi menghancurkan DAP.

Kata ahli parlimen Iskandar Puteri itu, kelompok itu berasakan bahawa jika prestasi DAP tercalar teruk di Melaka dan Sarawak, politik dan retorik kaum dan agama akan terus dimomokkan oleh mereka.

Katanya lagi, langkah mempercepatkan PRN itu juga untuk menggunakan kekecewaan rakyat terhadap pentadbiran PH yang singkat serta kebimbangan untuk keluar mengundi ekoran wabak Covid-19.

Lim menganggarkan peratus keluar mengundi boleh berkurangan serendah 40 peratus, disebabkan pelbagai faktor, antaranya kekangan terhadap aktiviti kempen serta iktibar daripada penularan yang diakibatkan PRN Sabah tahun lalu.

“Dalam keadaan ini, DAP berdepan ancaman eksistensial, sama ada kalah seluruhnya atau musnahnya Impian Malaysia yang dibawa DAP, untuk membina masyarakat berbilang kaum, agama, bahasa dan budaya yang bersatu dan makmur," katanya.

Jika rancangan "kelompok garis keras" ini berjaya, katanya lagi, mereka akan akan mempunyai hujah yang kuat untuk mengabaikan memorandum persefahaman kerajaan dengan PH dan seterusnya mengadakan PRU15 awal tahun depan.

“Ini untuk difikir-fikirkan pemimpin, ahli dan penyokong DAP,” katanya lagi.