Skip to main
Logo Malaysiakini

DUN Sarawak dibubarkan secara rasmi, 'khianat' jika GPS terus perintah

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak dibubar secara rasmi pada 3 Nov, kata ketua menteri sementara Abang Johari Openg pagi ini.

Pengumuman itu hadir dua hari selepas Yang di-Pertuan Agong berkenan menamatkan proklamasi darurat setempat di Sarawak yang berkuat kuasa sejak 2 Ogos lalu.

Ia membuka jalan untuk pilihan raya negeri (PRN) diadakan dalam tempoh tempoh 60 hari dari 3 Nov.

Abang Johari membuat pengumuman yang dinantikan itu dalam sidang media yang turut disiarkan secara langsung secara dalam talian.

“Setelah menerima nasihat bahawa pertimbangan kesihatan dan keselamatan dan perundangan awam telah tersedia, dan menepati perkenan Agong untuk membatalkan proklamasi darurat selepas rundingan dengan Yang Dipertua Negeri Sarawak (YDPN Abdul Taib Mahmud); dan berdasarkan Perkara 21 (2) perlembagaan Sarawak yang dibaca bersama dengan Seksyen 3 (3) ordinan; YDPN Sarawak mengisytiharkan DUN (Sarawak) dibubarkan berkuat kuasa 3 Nov 2021,” katanya.

Abang Johari berkata “libat urus yang cermat dan berterusan” telah diadakan dengan pihak berkuasa kesihatan sebelum ini.

Katanya, keputusan itu dibuat memandangkan Sarawak telah mencapai kadar vaksinasi Covid-19 yang boleh diterima untuk PRN diadakan dalam keadaan “selamat” dan “dilengkapi semua SOP yang diperlukan”.

Menurut KKM, 91.1 peratus populasi dewasa Sarawak telah divaksin penuh, sementara 77.2 peratus remaja (berusia 12-17 tahun) telah divaksin.

Angka itu merupakan 74.1 peratus daripada keseluruhan populasi.

Tambah Abang Johari, speaker Sarawak Mohamad Asfia Awang Nasar akan memaklumkan kepada SPR tentang pembubaran itu.


Baca: SPR sahkan PRN Sarawak bakal berlangsung, akan bincang pelaksanaan


Pengkhianatan jika GPS terus perintah

DUN Sarawak sepatutnya terbubar pada 7 Jun lepas selepas cukup lima tahun dari tarikh mesyuarat pertamanya diadakan.

Bagaimanapun darurat setempat dilaksanakan ekoran penularan wabak Covid-19 dan menyebabkan pembubaran DUN boleh ditangguh sehingga 2 Februari 2022.

Darurat seluruh negara telah ditamatkan pada Ogos, manakala darurat setempat di Sarawak hanya ditamatkan pada Rabu lepas.

Hari ini, Abang Johari menjelaskan mengapa kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) menghantar petisyen agar darurat itu ditamatkan lebih awal.

“Ketika ahli kerajaan negeri dan saya dilantik, kami membuat ikrar dengan penuh takzim untuk memelihara, melindungi dan mempertahankan perlembagaan negeri Sarawak dan perlembagaan persekutuan.

“Dengan semangat dan niat ini jugalah, kami berunding dan menasihati YDPN untuk mendapatkan perkenan YDPA bagi menamatkan proklamasi darurat lebih awal, berdasarkan Seksyen 2(2) ordinan (darurat) [...]

"Bagi berpegang pada ikrar kami dan memelihara dan melindungi perlembagaan Sarawak, perlembagaan persekutuan, dan (bagi) menjaga hak rakyat untuk memilih sendiri kerajaan mereka; kerajaan GPS berasakan ia merupakan satu pengkhianatan kepada ikrar tersebut sekiranya kerajaan GPS mahu terus memegang kuasa di sebalik alasan darurat, sedangkan mandat rakyat telah pun luput,” katanya.

Ketika sidang medianya, Abang Johari tidak menjawab dakwaan bahawa GPS cuba untuk menidakkan hak pengundi muda.

Kumpulan hak asasi pengundi memberi amaran bahawa pelaksanaan pilihan raya sebelum pindaan Undi18 dilaksanakan akan mengabaikan hak perlembagaan kira-kira 135,000 warga muda Sarawak.

Mahkamah Tinggi Kuching sebelum ini mengarahkan SPR melaksanakan penurunan had usia mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun dan pendaftaran automatik menjelang akhir tahun ini - 31 Disember.

DAP turut mengkritik GPS atas langkah yang didakwa sebagai terdesak bagi mengelak berdepan pengundi muda dalam pilihan raya.

Ahli-ahli politik pembangkang pula membangkitkan PRN boleh memberikan ancaman keselamatan dan boleh menyebabkan penularan wabak Covid-19.

Amaran itu hadir selepas Sarawak mencatatkan angka kematian Covid-19 dan kematian berkaitan Covid-19 yang tinggi pada bulan lalu, termasuk timbalan ketua menteri James Jemut Masing.