Skip to main
Logo Malaysiakini

'Permudah pasangan warga asing kerja untuk ringankan beban keluarga'

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Kumpulan Sokongan Pasangan Asing (FSSG) menggesa kerajaan agar menghapuskan sekatan berhubung pekerjaan melibatkan pasangan warga asing yang menetap di negara ini.

"Kami ingin membangkitkan kesan buruk ekoran larangan pada masa ini berhubung pekerjaan pasangan asing yang berkahwin dengan warga Malaysia," kata pengasas bersama FSSG, Bina Ramanand dalam kenyataan hari ini.

Bina berkata menghalang pasangan asing daripada bekerja membataskan sumbangan pendapatan mereka yang penting bagi kesejahteraan dan kestabilan keluarga di Malaysia.

Ia juga bertentangan dengan kepentingan anak-anak mereka, katanya lagi, sambil menambah ia juga menghalang pasangan asing daripada menyumbang kepada ekonomi negara.

"Ia juga sangat merugikan wanita dan meletakkan mereka dalam keadaan tidak menentu. Ia bukan saja menafikan isteri warga asing terhadap autonomi ekonomi tetapi turut menjadikan isteri warga tempatan sebagai pencari nafkah tunggal untuk keluarga.

"Dalam isi rumah di mana hanya seorang suami atau isteri yang mecari nafkah, beban kewangan dan kekurangan pendapatan akan memburukkan lagi aspek kesejahteraan kewangan setiap ahli keluarga, termasuk ibu bapa (pasangan) dan anak-anak mereka," katanya lagi.

Pada masa ini, menurut Bina, pasangan asing dibenarkan bekerja dengan syarat telah mendapat kelulusan pas kerja daripada Jabatan Imigresen.

Bagaimanapun, Pas Lawatan (Sosial) Jangka Panjang atau visa untuk pasangan warga asing disertakan dengan pernyataan berkenaan larangan untuk sebarang bentuk kerja.

"Ini menjadi faktor penghalang utama berkaitan pekerjaan, kerana pasangan asing hanya dibenarkan mendapatkan pengesahan untuk bekerja selepas mendapat tawaran kerja," katanya.

Bina menegaskan bahawa Belanjawan 2022 memperuntukkan RM4.8 bilion untuk menyediakan 600,000 pekerjaan di bawah skim JaminKerja Keluarga Malaysia.

Bagaimanapun, katanya lagi, sekatan ke atas pekerjaan untuk pasangan asing menghalang bakal majikan daripada mengambil warga asing, walaupun memiliki tahap kemahiran atau kelayakan yang tinggi.

“Langkah menghapuskan pernyataan berkenaan larangan bekerja pada visa pasangan warga asing dan melonggarkan sekatan berkaitan pekerjaan mereka akan memberi faedah pelbagai dimensi kepada pemulihan negara selepas Covid-19.

"Langkah membenarkan pasangan asing mendapat peluang pekerjaan dengan lebih mudah akan terus mewujudkan persekitaran yang mesra untuk keluarga ini kekal di Malaysia, sekali gus mengurangkan masalah brain drain yang kita hadapi sekarang," katanya lagi.