Sabah masuk Fasa 4 PPN mulai Isnin
Sabah layak beralih ke Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuat kuasa Isnin ini (8 Nov), kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Masidi Manjun.
Jurucakap Covid-19 Sabah itu berkata walaupun layak beralih ke Fasa Empat, orang ramai diingatkan supaya sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan Covid-19.
"Orang ramai diingatkan agar sentiasa patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) meskipun beberapa SOP dilonggarkan dalam Fasa Empat ini," katanya menerusi kenyataan di Twitter hari ini.
Peralihan fasa ini mengikut garis panduan yang ditetapkan PPN iaitu penentuan nilai ambang PPN ialah purata kes harian Covid-19, penggunaan katil di wad Unit Rawatan Rapi dan peratusan populasi layak yang divaksinasi sepenuhnya.
Sementara itu dalam kenyataan media hari ini, Masidi berkata kes Covid-19 baru di Sabah hari ini ialah 554 kes berbanding 655 kes semalam iaitu turun sebanyak 101 kes.
"Bagi keseluruhan negeri Sabah, 303 kes atau 54.7 peratus adalah kes Covid-19 berlaku dan didaftar dalam tempoh 24 jam lepas, manakala selebihnya kes yang didaftarkan lewat," katanya.
Dia berkata 97 peratus daripada 554 kes direkodkan hari ini adalah kes-kes ringan yang tidak memerlukan rawatan di hospital iaitu 101 orang dalam kategori satu manakala 438 kategori dua.
-Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai