Polis Melaka: Tiada unsur 'raih undi' dalam klip video agih makanan dan RM50
Polis tidak menemui unsur "raih undi" dalam acara pemberian makanan dan wang tunai untuk warga emas dalam video tular.
Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka Azlan Abu berkata acara itu tiada kaitan dengan pilihan raya negeri (PRN) Melaka akan datang.
"Hasil semakan oleh pihak polis Melaka, terdapat sebuah video berkenaan yang menunjukkan agihan bantuan makanan dan wang tunai RM50 kepada orang tua, namun tidak terkesan sebarang aktiviti meraih undi atau apa-apa lambang atau elemen parti politik di dalam kandungan video tersebut.
"Sehingga kini pihak polis tidak menerima sebarang laporan polis dibuat berkenaan kejadian tersebut di dalam daerah Melaka Tengah," katanya.
Azlan bagaimanapun tidak memberitahu sama ada kejadian itu benar berlaku di Melaka atau sebaliknya.
Insiden itu disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.
Polis turut mengingatkan orang ramai agar tidak menyebarkan maklumat yang tidak sahih.
Klip video berdurasi dua minit dan 17 saat menunjukkan berpuluh warga emas beratur untuk mendapatkan bahagian bungkusan makanan mereka dan pemberian wang tunai RM50.
Klip video itu tular di media sosial dan dikaitkan dengan aktiviti meraih undi.
Sementara itu, Oriental Daily memetik seorang aktivis tempatan sebagai berkata bahawa acara itu bukan berlaku di Melaka.
Malah, Ketua Persatuan Perniagaan dan Kediaman Bunga Raya Leong Cheng Fah percaya kejadian itu berlaku di Pudu, Kuala Lumpur.
"Saya telah menyemak dengan ramai aktivis dan diberitahu bahawa ini adalah acara amal tahunan di Pudu, di mana makanan dan wang tunai diedarkan," katanya dipetik sebagai berkata.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai