Skip to main
Logo Malaysiakini

Tuan Ibrahim akan ke COP26: Tandatangan ikrar haram tebang hutan, pelepasan metana

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Kabinet memutuskan Menteri Alam Sekitar dan Air Tuan Ibrahim Tuan Man mengetuai delegasi Malaysia bagi menghadiri Persidangan Ke-26 Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (COP-26).

Tuan Ibrahim juga akan memeterai dua deklarasi untuk melindungi alam sekitar yang telah dimeterai lebih 100 buah negara.

Wakil kabinet Putrajaya tidak kelihatan ketika dua hari pertama sidang COP26 berlangsung yang dihadiri para pemimpin utama dunia.

"Jemaah menteri juga telah bersetuju supaya Malaysia menandatangani Deklarasi Pemimpin mengenai Hutan dan Guna Tanah dan Ikrar Metana Global bagi menunjukkan komitmen dan usaha progresif negara untuk melaksanakan tindakan perubahan iklim yang akan menyumbang kepada matlamat global," kata Kementerian Alam Sekitar dan Air pada satu kenyataan hari ini.

Tuan Ibrahim dijangka akan "menghadiri sesi rundingan Segmen Peringkat Tinggi" sidang COP26 pada 9 dan 10 Nov dan akan menyampaikan kenyataan negara.

"Deklarasi Pemimpin mengenai Hutan dan Guna Tanah bertujuan memperkukuhkan komitmen negara-negara terhadap penggunaan tanah, pemuliharaan dan pengurusan hutan serta ekosistem yang lain secara mampan.

"Penyertaan Malaysia bersama-sama dengan 131 negara lain dalam deklarasi ini adalah selaras dengan komitmen negara untuk terus mengekalkan sekurang kurangnya 50 peratus daripada keluasan tanah negara sebagai hutan dan litupan pokok," katanya.

Negara dalam senarai memeterai ikrar yang melarang penebangan hutan menjelang 2030 itu termasuk Indonesia, kuasa besar China, Amerika Syarikat dan Rusia manakala 28 negara komited untuk menghapuskan penebangan hutan daripada perdagangan global makanan dan produk pertanian lain seperti minyak sawit, soya dan koko.

Ikrar itu juga disokong oleh dana awam dan swasta sebanyak AS$19 bilion (RM78.92 bilion) untuk melabur dalam melindungi dan memulihkan hutan.

Ikrar itu datang pada saat genting, yang mana negara mesti komited untuk bertindak sekarang dalam mengurangkan separuh pelepasan karbon global menjelang 2030.

Ini bagi mengehadkan pemanasan global kepada 1.5 darjah Celsiusm berbanding zaman praindustri. Hutan memainkan peranan penting sebagai penyerap karbon.

Malaysia juga akan menyertai 103 negara lain dalam Ikrar Metana Global.

"Matlamat ikrar (metana) ini adalah bagi mendapatkan komitmen dan persetujuan bersama untuk mengurangkan pelepasan metana global sekurang-kurangnya sebanyak 30 peratus menjelang tahun 2030 berbanding tahapnya pada tahun 2020," kata kenyataan itu lagi.

Kementerian Alam Sekitar dan Air berkata akan terus bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan bagi memastikan pelaksanaan tindakan yang inklusif dan holistik

"Malaysia sentiasa komited untuk bersama-sama dengan negara-negara ahli kepada Perjanjian Paris dalam usaha mengekalkan purata peningkatan suhu global abad ini supaya tidak melebihi 2 darjah Celcius, meneruskan tindakan mitigasi untuk menghadkan suhu supaya tidak melebihi 1.5 darjah Celcius serta mengurangkan kerentanan terhadap kesan perubahan iklim," katanya.