Skip to main
Logo Malaysiakini

Shafee mohon kes saman cukai RM9.41 juta ditangguh

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Peguam Muhammad Shafee Abdullah memfailkan permohonan untuk menangguhkan saman tuntutan cukai berjumlah RM9.41 juta oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) terhadapnya.

Shafee berkata, prosiding terhadapnya perlu ditangguh sementara menunggu rayuan bekas perdana menteri Najib Razak di Mahkamah Persekutuan berhubung kes tuntutan cukai terhadapnya.

Dalam permohonan yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 3 November lalu, Shafee mendakwa ini kerana keputusan rayuan Najib boleh memberi kesan kepada saman terhadapnya.

Najib dan anaknya, Mohd Nazifuddin membuat permohonan untuk membatalkan penghakiman terus terhadap saman tuntutan cukai - masing-masing sebanyak RM1.69 bilion dan RM37.6 juta - ke atas mereka.

Najib dan Nazifuddin berkata penghakiman ringkas itu tidak mengambil kira sebarang pembelaan yang boleh dibangkitkan mereka jika ia dibicarakan secara penuh.

Menggunakan keputusan penghakiman terus itu, LHDN meneruskan prosiding untuk mendapatkan semula tunggakan cukai.

Bagaimanapun pada 21 Oktober, Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Najib dan Nazifuddin untuk penangguhan sementara pelaksanaan penghakiman terus tersebut, sementara menunggu rayuan di Mahkamah Persekutuan.

Mahkamah Persekutuan dijadual mendengar permohonan mereka pada 16 Februari 2022.

Menurut salinan afidavit sokongan permohonan Shafee yang dilihat Malaysiakini, Shafee berkata yang saman terhadapnya perlu ditangguh kerana keputusan rayuan Najib dan Nazifuddin berkisar tentang kesahan Seksyen 106(3) Akta Cukai Pendapatan 1967.

Katanya, keputusan itu mungkin memberi kesan terhadap saman ke atasnya, memandangkan terdapat isu sama ada peruntukan itu menjadikan mahkamah hanya sebagai "rubber stamp" ketika mendengar permohonan penghakiman ringkas LHDN terhadapnya.

Antara isu utama yang dibangkitkan dalam rayuan Najib dan Nazifuddin adalah sama ada seksyen itu tidak sah kerana bertentangan dengan Perkara 121 Perlembagaan Persekutuan.

Secara umumnya, Seksyen 106 memberi kuasa kepada LHDN untuk memulakan tindakan sivil di mahkamah untuk mendapatkan tunggakan cukai dan penalti daripada pembayar cukai.

Perkara 121 Perlembagaan Persekutuan pula berkaitan kuasa kehakiman di Malaysia.

Dalam rayuan mereka, Najib dan Nazifuddin berkata Seksyen 106(3) tidak berperlembagaan kerana ia merampas kuasa mahkamah (menurut Perkara 121) untuk mengambil kira pembelaan oleh mana-mana pembayar cukai dalam tindakan sivil oleh LHDN.

Kata Shafee, mahkamah perlu mengambil kira yang kerjaya dan pendapatannya akan terjejas teruk jika penangguhan tidak diberikan.

Dia juga membangkitkan beberapa sebab untuk penangguhan itu, antaranya permohonan taksiran semula cukai dengan Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan LHDN yang sedang berjalan, terdapat apa yang didakwa sebagai kesilapan dalam taksiran cukai tambahan terhadapnya, dakwaan unsur mala fide (niat jahat) dan salah guna proses terhadapnya berkaitan saman tuntutan itu.

Ketika dihubungi Malaysiakini, peguam Shafee mengesahkan pemfailan permohonan penangguhan itu.

[Baca berita asal]