Skip to main
Logo Malaysiakini

Amnesty lancar petisyen untuk selamatkan nyawa Nagaenthran

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Kumpulan hak asasi manusia, Amnesty International Malaysia melancarkan kempen petisyen dalam talian untuk menggesa Presiden Singapura, Halimah Yaakob membatalkan hukuman mati terhadap warga Malaysia Nagaenthran K Dharmalingam, yang dijadualkan pada 10 Nov ini.

Ia juga menggesa penangguhan ke atas semua hukuman mati dilakukan sebagai langkah mansuhkan sepenuhnya hukuman berkenaan.

“Meragut nyawa manusia adalah satu tindakan yang kejam tetapi menggantung seseorang yang disabitkan kesalahan semata-mata kerana membawa dadah, di tengah-tengah keterangan yang menakutkan bahawa dia mungkin tidak memahami sepenuhnya apa yang berlaku ke atasnya, adalah keji,” kata kumpulan itu di Twitter semalam, merujuk laporan bahawa Nagaenthran mengalami gangguan mental ketika melakukan kesalahan itu.

Amnesty International juga menggesa orang ramai menulis rayuan kepada Halimah untuk menuntut hukuman diringankan dan penangguhan pelaksanaan hukuman mati melalui laman webnya.

Nagaentran dijatuhi hukuman mati pada 2010 atas kesalahan mengedar 42.72g heroin.

Kementerian Dalam Negeri Singapura dalam kenyataannya berkata Nagaenthran  tidak mengalami gangguan mental ketika melakukan kesalahan itu dan faham bahawa apa yang dilakukannya adalah jenayah.

Bagaimanapun, peguam keluarganya, N Surendran menyatakan mahkamah mendapati Nagaenthran mengalami masalah fungsi intelektual dan masalah hiperaktif dan kekurangan tumpuan (ADHD), memiliki skor IQ pada tahap 69, serta kemahiran pemfungsian eksekutifnya terganggu.

Sebelum ini, satu lagi kempen petisyen dilancarkan dalam talian untuk menggesa Halimah mengampuni Nagaenthran, yang telah mendapat lebih 54,000 tandatangan setakat malam tadi.

Bagaimanapun, petisyen rasmi kepada Halimah untuk mendapatkan pengampunan itu tidak berjaya.