Skip to main
Logo Malaysiakini

Analogi kapal dan bola, peringatan pada ahli PAS taat pemimpin

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

MUKTAMAR PAS | Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan menggunakan analogi kapal dan bola sepak untuk memberi peringatan kepada ahli-ahli PAS agar taat kepada pemimpin parti.

Kata Takiyuddin, setiap orang dalam parti mempunyai peranan masing-masing, namun tindakan cuba mencampuri peranan pemimpin boleh memudaratkan parti.

Sambil memetik hadis nabi, Takiyuddin mengumpamakan ahli-ahli parti seperti kelasi kapal yang berada di dek bahagian bawah sesebuah kapal, manakala nakhoda berada di atas dek untuk mengemudi dan melihat lautan luas.

“Anak kapal yang berasa pandangannya betul seluas lautan walhal berada di dalam perut kapal berdinding kayu bertingkap kecil, manakan sama dengan kapten yang mengemudi dengan kompas serta teropong di tingkat atas," katanya dalam ucapan Muktamar PAS ke-67 di Kuala Terengganu, hari ini.

Tambah Menteri Tenaga dan Sumber Asli itu, meskipun pandangan semua pihak dirai, keputusan akhir peru diterima, ditaati dan dilaksanakan dengan penuh kualiti.

“Masalah timbul apabila kita terlalu risau dan mencampuri peranan orang lain walhal tugasan kita sendiri belum dilaksana dengan baik dan berkualiti itqan (sungguh-sungguh),” katanya lagi.

Tahu peranan masing-masing

Selain itu kata Takiyuddin, dia selaku setiausaha agung, hanyalah pelaksana keputusan parti, yang diibaratkan seperti pengurus peralatan dalam pasukan bola sepak yang mempunyai pengurus, ketua jurulatih dan pemain.

“Ada satu jawatan yang dipanggil kit manager atau kitman; pengurus pakaian dan peralatan pasukan seperti kasut, jersi, nombor dan sebagainya.

“Di situlah peranan Setiausaha Agong dan anak-anak buahnya di dalam sebuah pasukan yang hebat seperti PAS yang kita cintai ini,” katanya lagi yang memegang jawatan itu sejak 2015.

Katanya, dalam stadium politik, strategi dan taktik sudah pastinya ditentukan oleh pengurus dan pasukan jurulatih, manakala para pemain harus berperanan di posisi masing-masing, baik di bahagian “pertahanan, midfield (tengah) ataupun striker (penyerang).”

“Dalam sejarah bola sepak, banyak pasukan yang ada pemain-pemain bertaraf superstar kecundang apabila pemain-pemain bertindak seolah-olah merekalah pengurus dan jurulatih.

“Namun, banyak pasukan yang dikira underdog (bukan pilihan), tiada pemain bintang, tetapi berjaya mengalahkan pasukan gergasi apabila pemainnya berdisiplin, tahu peranan masing-masing dan menghormati sepenuhnya percaturan strategi pengurus pasukan,” katanya lagi.