PRN Melaka: Idris Haron jadi calon PKR, Nor Azman calon Amanah
PRN MELAKA | Dua Adun Umno yang membatalkan sokongan terhadap kerajaan negeri sebelum ini, iaitu Idris Haron dan Nor Azman Hassan, sah bertanding menggunakan tiket PH untuk PRN kali ini.
Pengerusi PH Anwar IBrahim berkata, Idris, yang juga bekas ketua menteri Melaka menjadi calon PKR di DUN Asahan manakala Nor Azman sebagai calon Amanah di DUN Pantai Kundor.
“Kerusi (DUN) Asahan diperuntukkan untuk PKR. Jadi kita terimanya (Idris) sebagai ahli PKR,” katanya dalam sidang media dalam talian pengumuman calon bagi Amanah dan PKR hari ini.
Anwar berkata, Idris kini adalah ahli PKR manakala Nor Azman menganggotai Amanah.
Pada PRU14, Nor Azman menang di DUN Pantai Kundor dengan memperolehi 5,773 undi ketika bertanding di bawah tiket BN. Ia merupakan kerusi yang diperuntukkan untuk Amanah dalam PH.
Sebelum ini Malaysiakini melaporkan PKR dan Amanah dijangka menerima dua bekas Adun Umno Melaka itu untuk bertanding semula pada pilihan raya negeri yang bakal berlangsung 8 November ini.
Ditanya mengenai calon ketua menteri Melaka sekiranya PH menang pada PRN ini, Anwar hanya menjawab bahawa setakat ini mereka bersetuju Adly Zahari yang juga bekas ketua menteri akan mengetuai pasukan bagi pilihan raya ini.
Adly kekal bertanding sebagai calon DUN Bukit Katil.
Tiada calon daripada Parti Ikatan Demokratik Rakyat Malaysia (Muda) selepas parti itu menyatakan hasrat untuk bekerjasama denan PH dalam PRN Melaka.
Berkenaan perkara itu, Anwar berkata ia telah dibawa dalam perbincangan bersama pemimpin ketiga-tiga parti komponen PH.
“Apa yang penting adalah terdapat bilangan calon-calon muda yang ketara dari DAP, Amanah dan PKR,” katanya.
PRN Melaka diadakan ekoran pembubaran DUN pada 4 Okt lalu susulan empat Adun menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Melaka Sulaiman Md Ali.
Selain Idris dan Nor Azman, dua lagi Adun yang bertindak sedemikian adalah Norhizam Hassan Baktee (Pengkalan Batu) dan Noor Effandi Ahmad (Telok Mas).
Calon termuda berusia 21 tahun
DUN Melaka mempunyai 28 kerusi. PH menampilkan 11 calon dari PKR, lapan calon DAP dan sembilan dari Amanah.
Menurut Ketua pembangkang itu lagi, kali ini terdapat lebih ramai calon-calon baru serta yang pertama kali bertanding.
“Umur pun agak lebih muda - 21, 30, 36, 40 tahun,” katanya lagi.
Calon termuda merupakan Farzana Hayani Mohd Nasir, mahasiswa jurusan Komunikasi dan Pengajian Media dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang berusia 21 tahun.
Dia merupakan calon PKR bagi kerusi DUN Sungai Rambai.
Penamaan calon akan diadakan pada 8 Nov ini, manakala hari pengundian pada 20 Nov.
Berikut merupakan senarai calon PKR dan Amanah:
PKR
- N.02 DUN Tanjung Bidara - Zainal Hassan
- N.04 DUN Lendu - Mohamad Asri Ibrahim
- N.06 DUN Rembia - Zamri Pakiri
- N.08 DUN Machap Jaya - Law Bing Haw
- N.10 DUN Asahan - Idris Haron
- N.11 DUN Sungai Udang - Hasmorni Tamby
- N.13 DUN Paya Rumput - Shamsul Iskandar Md. Akin
- N.14 DUN Kelebang - Gue Teck*
- N.18 DUN Ayer Molek - Rafee Ibrahim
- N.25 DUN Rim - Prasanth Kumar Brakasam
- N.28 DUN Sungai Rambai - Farzana Hayani Mohd Nasir
Amanah
- N.01 DUN Kuala Linggi - Julasapiah Kasim
- N.03 DUN Ayer Limau - Mazenah Baharuddin
- N.05 DUN Taboh Naning - Zairi Suboh
- N.09 DUN Durian Tunggal - Mohd Sofi Wahab*
- N.12 DUN Pantai Kundor - Nor Azman Hassan
- N.17 DUN Bukit Katil - Adly Zahari*
- N.23 DUN Telok Mas - Ashraf Mukhlis Minghat
- N.26 DUN Serkam - Muhammad Khomeini Kamal
- N.27 DUN Merlimau - Azrin Ab Majid
DAP
- N07 Gadek - G Saminathan*
- N15 Pengkalan Batu - Muhamad Danish Zainudin
- N16 Ayer Keroh - Kerk Chee Yee*
- N19 Kesidang - Allex Seah Shoo Chin*
- N20 Kota Lasamana - Low Chee Leong*
- N21 Duyong - Damian Yeo Shen Li*
- N22 Bandar Hilir - Leng Chau Yen
- N24 Bemban - Tey Kok Kiew
* Penyandang
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai