Skip to main
Logo Malaysiakini

PN belum tentukan calon ketua menteri Melaka

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

PRN MELAKA | Perikatan Nasional (PN) belum menetapkan calon ketua menteri sekiranya gabungan itu berjaya membentuk kerajaan selepas 20 Nov ini.

Pengerusi PN merangkap Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin berkata perkara itu akan diumumkan pada masa yang sesuai selepas selesai proses penamaan calon Isnin ini.

“Kita setakat ini belum lagi hendak mengumumkan, tunggu masa yang sesuai dan yang penting untuk mereka ini menghadapi penamaan calon… kita akan umumkan kemudian,” katanya.

Muhyiddin berkata demikian pada sidang media selepas majlis pengumuman calon PN dan penyerahan watikah di Shah Alam, Selangor hari ini.

Terdahulu, BN mengumumkan 28 calon mereka bagi menghadapi PRN Melaka dengan menamakan Sulaiman Md Ali sebagai calon ketua menteri sekiranya menang pilihan raya berkenaan.

Ditanya mengenai sama ada PN turut menghendaki kesemua 28 calonnya untuk menandatangani akuan bersumpah (SD) bagi mengelak amalan lompat parti, Muhyiddin berkata mereka belum membuat rancangan untuk perkara tersebut buat masa ini.

“Kami masih yakin bahawa semua calon ini cukup setia kepada apa yang telah diputuskan parti masing-masing.

"Saya yakin pimpinan parti yang ada tahu siapa mereka dan kesetiaan mereka tidak berbelah bahagi selepas selesai pilihan raya ini, insya-Allah,” katanya.

Sebelum ini, BN mengumumkan semua calonnya menandatangani SD bagi mengelak lompat parti dan tindakan undang-undang akan diambil terhadap mana-mana Adun yang berpaling tadah selepas mendapat mandat daripada rakyat.

Ditanya mengenai keputusan BN untuk bergerak secara sendirian pada PRN itu, Muhyiddin akur dengan keputusan itu malah ia tidak memberi kesan terhadap perhubungan antara kedua-dua parti gabungan itu termasuk di peringkat persekutuan.

“Ia agak luar biasa, tetapi saya fikir ia dilakukan demi kepentingan negara untuk kestabilan, malah kerajaan sekarang misalnya sanggup menandatangani memorandum persefahaman dalam kedudukan mereka kini... dan saya rasa ia OK selagi menjaga kepentingan kerajaan persekutuan,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan tarikh mengundi ialah pada 20 Nov manakala penamaan calon pada 8 Nov. Pengundian awal pula pada 16 Nov.

- Bernama