Skip to main
Logo Malaysiakini

Pastikan pertembungan satu lawan satu dengan GPS, kata Baru Bian pada PH

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

PRN S'WAK | Pembangkang negeri Parti Sarawak Bersatu (PSB) dan DAP perlu melakukan yang terbaik untuk bekerjasama antara satu sama lain bagi memastikan pertembungan satu lawan satu dalam menentang gabungan parti pemerintah Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Ahli Majlis Presiden PSB Baru Bian berkata demikian ketika mengulas kenyataan DAP Sarawak semalam yang tidak melihat kemungkinan kerjasama antara dua parti itu.

“PSB bersedia dan sanggup bekerjasama dengan parti pembangkang yang sehaluan di negeri ini dengan satu objektif – untuk membawa perubahan yang kita semua mahukan untuk rakyat Sarawak dengan menjatuhkan GPS/BN.

“Gabungan (GPS) telah memerintah Sarawak selama lebih 50 tahun namun kita kekal antara negeri termiskin di Malaysia.

“Tidak sepatutnya ada pertembungan tiga penjuru atau lebih antara parti pembangkang dan GPS,” kata Baru pada satu kenyataan malam tadi.

Dakwanya, proses (merundingkan hal) itu sebenarnya telah dimulakan beberapa waktu lalu dan sedang berjalan.

"Kami berharap dapat mencapai persefahaman dan konsensus tidak lama lagi," kata bekas menteri kerja raya itu yang menang parlimen Selangau dan DUN Ba'kelalan ketika mewakili PKR dan kemudian keluar parti Feb lalu.

Chong Chieng Jen dilaporkan berkata penaja PSB yang didakwa DAP sebagai “mencurigakan” selain persamaan yang dimiliki parti itu jika dibandingkan dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang memerintah sebelum ini.

Dalam sidang media yang disiarkan secara dalam talian semalam, Chong bahkan menggelar PSB sebagai satu “tunas susur” (offshoot) kepada GPS.

"Operasi mereka, ideologi mereka dan modus operasi mereka lebih kurang sama dengan GPS.

"Oleh sebab itu, saya rasa agak susah untuk kami bekerjasama dengan PSB. (Tetapi) Sudah tentu, dalam politik, benda mustahil pun kadang-kadang boleh terjadi.

“Tetapi buat masa sekarang, agak mustahil memandangkan penaja yang mencurigakan. Malah, penaja mereka pun secara dasarnya sama dengan penaja GPS [...] semasa zaman BN,”," kata pengerusi DAP negeri itu.

Awal tahun ini dilaporkan Chong bersedia menawarkan 30 peratus kerusi kepada PSB, manakala Pakatan Harapan Sarawak bertanding 70 peratus, tetapi tawarannya telah ditolak dengan PSB malah berkata ia mungkin bertanding di semua 82 kerusi di negeri itu. .

GPS memilik majoriti besar 69 kerusi daripada 82 kerusi DUN.

Pembangkang -DAP dan PSB - pula mempunyai 11 kerusi.