Skip to main
Logo Malaysiakini

'Penerangan PAS beri tumpuan khusus kelemahan Pulau Pinang'

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

MUKTAMAR PAS | Ketua Penerangan PAS, Kamaruzaman Mohamad menegaskan pihaknya sentiasa memastikan lajnah penerangan parti memberi tumpuan terhadap isu-isu yang menunjukan kelemahan kerajaan Pulau Pinang.

Malah menurutnya, isu membabitkan kelemahan PH di Pulau Pinang akan disiarkan dalam setiap keluaran Harakah.

"Sebab kita dah jadikan Pulau Pinang sebagai satu tumpuan kepada kelemahan sedang berjalan di peringkat kerajaan PH.

"Kita juga lantik seorang pegawai di Pulau Pinang berkhidmat dengan Harakah khusus untuk tackle (menangani) isu di Pulau Pinang," katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan Muktamar PAS ke-67 di Kuala Terengganu, hari ini.

Dia berkata demikian sebagai menjawab isu yang di ketengahkan perwakilan PAS Pulau Pinang yang menyatakan seolah-olah media rasmi parti kurang beri liputan terhadap isu-isu di Pulau Pinang.

Sehubungan itu, Kamaruzaman berkata pihaknya tidak meminggirkan Pulau Pinang bahkan menjadi tumpuan di dalam saluran media PAS untuk ditimbulkan segala kelemahan yang berlaku di Pulau Pinang.

Bagaimanapun, dia turut merayu supaya ahli-ahli PAS melanggan akhbar rasmi parti yang disifatkan tidak membanggakan.

"Negeri-negeri lain juga tidak ketinggalan, kita ada hampir semua wakil pengarang di setiap negeri.

"Tetapi saya minta tolong baca langgan Harakah (edisi) cetak. Jumlah jualannya amat rendah berbanding jumlah keahlian parti," katanya.