Nagaenthran ke tali gantung: Mahkamah dengar ikhtiar terakhir esok
Peguam mewakili Nagaentran K Dharmalingam melakukan ikhtiar terakhir untuk menyelamatkannya.
Cabaran undang-undang terhadap hukuman mati Nagaentran dijangka didengar esok, dua hari sebelum tarikh pelaksanaannya pada 10 Nov.
Warga Malaysia itu kini sedang menunggu hukuman mati di Singapura kerana sabitan kesalahan mengedar dadah.
Dalam ulasan kepada Malaysiakini, peguam Nagaenthan dari Malaysia, N Surendran menjelaskan pihaknya mencabar hukuman itu atas alasan bahawa republik itu melanggar perlembagaannya untuk melaksanakan hukuman mati terhadap "orang kelainan upaya mental".
Oleh itu, para peguam Nagaenthan berhujah hal itu melanggar Perlembagaan Singapura untuk melaksanakan hukuman mati kepadanya.
Perkara 9 (1) menyatakan "tiada seorang pun boleh dilucutkan nyawanya atau kebebasan peribadinya kecuali mengikut undang-undang". Perkara 12 (1) pula menyatakan bahawa "semua orang adalah sama di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan undang-undang yang sama".
Selain daripada perlembagaan, mereka berhujah Singapura juga akan melanggar dasar perkhidmatan penjaranya sendiri jika ia melaksanakan hukuman mati terhadap lelaki berusia 33 tahun itu.
"Ia melanggar dasar penjara Singapura sendiri untuk tidak menghukum mati orang kurang upaya mental," kata Surendran.
Peguam itu percaya Nagaentran akan menjadi orang pertama yang dihukum bunuh di Singapura sejak 2019.
Tambahan pula, mereka berhujah pelaksanaan itu melanggar "kelaziman undang-undang antarabangsa."
Baca: Deepavali terakhir di Singapura buat Nagaentran
Ini terutamanya kerana Singapura memeterai Konvensyen PBB mengenai Hak Orang Kurang Upaya (CRPD). Negara ini telah mengesahkan CRPD pada tahun 2013.
Cabaran undang-undang ini dijangka didengar di Mahkamah Tinggi Singapura pada 8 Nov jam 2:30 petang.
"Jika berjaya, pelaksanaan (hukuman mati) akan dihentikan kerana kami memohon perintah larangan berkenaan dengan pelaksanaan itu," kata Surendran.
Naegenthran diwakili di Singapura oleh peguam M Ravi.
Pada 2011, Nagaentran dijatuhi hukuman mati kerana mengedar 42.72g diamorfin ke Singapura dua tahun sebelumnya. Heroin diperbuat daripada diamorfin.
Rayuan dan petisyen pengampunan sebelum ini telah gagal.
Bantahan awam, tajuk berita antarabangsa
Kes Nagaenthran telah mencetuskan bantahan orang ramai sejak tarikh pelaksanaannya diketahui pada 26 Okt.
Petisyen dalam talian yang meminta Presiden Singapura Halimah Yacob mengampuninya telah memperoleh lebih 59,000 tandatangan pada masa penulisan.
NGO antihukuman mati dan kumpulan peguam telah melancarkan kempen #SaveNagaenthran, menggesa republik itu meringankan hukuman matinya kepada hukuman seumur hidup.
Kementerian Luar Wisma Putra juga telah menulis surat kepada rakan sejawatannya di Singapura mengenai perkara ini tetapi tidak meminta hukuman mati itu dihentikan.
Selain di Malaysia dan Singapura, saluran berita seperti Sydney Morning Herald, Vice, The Washington Post dan rangkaian berita global Associated Press juga telah melaporkan kes itu.
Kementerian dikritik kerana pendirian
Kementerian Dalam Negeri (MHA) Singapura berkata mahkamah mendapati tanggungjawab mental Nagaenthran atas kesalahannya sebahagian besarnya tidak terganggu dan jelas faham apa yang dilakukannya adalah jenayah.
Surendran, yang juga mengendalikan NGO bantuan guaman Lawyers for Liberty, sejak itu menuduh kementerian membuat "tuntutan palsu".
“Kami terkejut bahawa MHA secara palsu mendakwa dalam kenyataannya bahawa mahkamah telah menilai keterangan pakar psikiatri ‘termasuk keterangan pakar psikiatri yang dipanggil oleh pihak pembelaan bagi pihak Nagaenthran, yang bersetuju di mahkamah, bahawa Nagaenthran tidak kurang upaya dari segi intelek.’
“Dakwaan MHA bahawa pakar psikiatri pembelaan telah memberikan bukti bahawa Nagaenthran tidak kurang upaya dari segi intelek adalah pembohongan secara terang-terangan.
“Sebaliknya, pakar psikiatri pembelaan Dr Ung Eng Khean dari Pusat Perubatan Adam sebenarnya memberi keterangan di Mahkamah Tinggi bahawa Nagaenthran adalah orang kurang upaya dari segi intelek. Kajian pantas terhadap penghakiman yang dilaporkan akan mengesahkan ini,” katanya pada satu kenyataan berasingan.
Nagaenthran, 33, yang disahkan sebagai lembam adalah banduan yang menunggu hukuman mati di Penjara Changi dan dijadualkan digantung sampai mati pada Rabu depan (10 November).
"Bagaimanapun, MHA sengaja mengelak hakikat yang mahkamah juga mendapati Nagaenthran mengalami masalah fungsi intelektual (borderline intellectual functioning) dan masalah hiperaktif dan kekurangan tumpuan (ADHD), memiliki skor IQ pada tahap 69, dan kemahiran pemfungsian eksekutifnya terganggu," kata Surendran pada 4 Nov lalu.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai