Skip to main
Logo Malaysiakini

'Kematian kejam' pelatih pusat pemulihan: Kerajaan digesa reformasi undang-undang dadah

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Kematian seorang pelatih di pusat pemulihan dadah yang menyayat hati mendapat perhatian kumpulan proganja perubatan Persatuan Kesedaran Malaysia (Masa).

Naib Presidennya Harish Kumar menggesa kerajaan Malaysia segera mereformasikan undang-undang sebelum lebih ramai menjadi mangsa dalam sistem pemulihan sedemikian.

"Menyedihkan melihat mana-mana penagih dadah yang mencari bantuan untuk ketagihan mereka dianggap sebagai penjenayah dan dilayani dengan kebencian, keganasan dan negatif semasa dalam tahanan.

"Ketagihan adalah keadaan perubatan yang boleh dibendung oleh doktor dalam persekitaran yang selamat dan penyayang. 

"Undang-undang Malaysia perlu diubah secepat mungkin sebelum lebih banyak nyawa terkorban," katanya kepada Malaysiakini.

Harish mengulas laporan seorang pelatih pusat pemulihan dadah di Kubang Pasu, Kedah, 31, meninggal dunia akibat kecederaan didakwa akibat tindakan seorang warden yang menggagalkan cubaannya melarikan diri.

Harian Metro melaporkan warden berusia 46 tahun itu didakwa telah memijak leher, memukul dadanya dan menendang mangsa.

Ini selepas mangsa diletakkan di dalam sel pengasingan berikutan cubaan melarikan diri dari fasiliti itu sekitar jam 3 pagi pada 4 Nov.

Untuk rekod, Klasifikasi Penyakit Antarabangsa WHO pada 1994 menyatakan masalah ketagihan pada sesuatu bahan merupakan sejenis gangguan mental dan penyakit kronik mudah berulang.

Ini termasuklah kebergantungan terhadap alkohol dan dadah (sama ada yang haram atau dengan preskripsi doktor).

Dalam pada itu, Harish berkata pesakit ketagihan dadah masih dilayani sebagai penjenayah.

Mangsa yang dimasukkan pada April atas ketagihan ganja hanya dapat lari kira-kira 1km dari kemudahan itu sebelum ditemui warden, menurut Ketua Polis Kedah Kamarul Zaman Mamat.

"Mangsa yang dalam keadaan lesu serta tidak bermaya itu kemudian dibawa pulang dengan menaiki van dan dia ditempatkan di sel pengasingan," katanya pada 5 Nov lalu..

Kamarul berkata warden terbabit datang ke sel mangsa jam 11 pagi dan memijak leher, memukul serta menendang dada.

"Kejadian itu dilihat dua pelatih senior yang terus melerai serta menenangkan warden berkenaan daripada mengamuk dan memukul mangsa yang ditempatkan dalam sel bersama enam penghuni lain itu.

"Tindakan warden terbabit menyebabkan mangsa mengalami kesan cedera di dada, leher serta hidung berdarah dan selepas hampir tujuh jam kemudian mangsa pengsan ketika sedang mandi bersama enam pelatih lain," katanya lagi.

'Undang-undang ketinggalan zaman'

Warden bersama pelatih lain kemudian membawa mangsa menaiki van namun dia disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Jitra, kata Kamarul Zaman.

Sementara itu, Harish menggesa kerajaan mengambil langkah pantas dan mengingatkan pihak berkuasa bahawa ganja adalah bahan yang digunakan secara global hari ini sebagai ubat dan bagi tujuan rekreasi.

Dia juga menyoal idea bahawa mangsa yang meninggal dunia itu ketagih ganja.

“Penemuan terkini berdasarkan tetapan klinikal sejak 2015 menunjukkan ganja kurang ketagih berbanding gula dan tidak mempunyai sebarang gejala penarikan atau kesan negatif yang membahayakan pengguna yang telah berhenti menggunakan,” katanya.

Suruhanjaya Dadah Narkotik (CND) Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada 2 Disember tahun lalu telah "mengklasifikasikan semula kanabis sebagai dadah yang kurang berbahaya" dan mengeluarkannya daripada senarai bahan opiod yang boleh membunuh dan ketagih.

[Baca laporan penuh]