Skip to main
Logo Malaysiakini

Mahkamah arah bekas exco Johor bela diri pertuduhan rasuah RM35 juta

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Mahkamah Tinggi di Johor Bahru mengarahkan bekas exco kerajaan negeri, Abdul Latif Bandi membela diri terhadap 37 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan lebih RM35 juta empat tahun lalu.

Pada 20 Sept lalu, mahkamah menetapkan hari ini untuk memutuskan sama ada Abdul Latif, anaknya dan seorang perunding hartanah perlu membela diri atau dibebaskan.

Hakim Abu Bakar Katar membuat keputusan itu selepas mendengar hujah daripada pihak pendakwaan, diketuai Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Wan Shahruddin Wan Ladin dan pihak pembelaan, diketuai peguam Salehuddin Saidin, semasa prosiding rayuan yang berlangsung selama dua hari.

Pada 14 Jun 2017, Latif, 55, yang juga bekas pengerusi jawatankuasa perumahan dan kerajaan tempatan Johor; anaknya, Ahmad Fauzan Hatim, 29, dan perunding hartanah Amir Shariffuddin Abd Raub, 48, didakwa atas 33 pertuduhan rasuah dan empat pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM35.7 juta.

Pada 21 April 2019, Hakim Mahkamah Sesyen Kamarudin Kamsun memerintahkan Latif yang juga bekas Adun Endau, Fauzan dan Amir dilepas dan dibebaskan selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.

Sebanyak 33 pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 28(1)(C) Akta SPRM 2009, dan empat pertuduhan di bawah Seksyen 32(8)(c) dan Seksyen 89 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.