Skip to main
Logo Malaysiakini

MySejahtara mohon maaf berlaku kesilapan status pengguna

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

MySejahtera mengeluarkan permohonan maaf selepas beberapa pengguna diberikan status Covid-19 yang tidak betul dalam aplikasi peribadi mereka.

Melalui Twitter, MySejahtera memberi maklum balas kepada pengguna yang membuat aduan mereka di media sosial itu selepas mendapati diri mereka dikenal pasti sebagai Individu Dalam Pengawasan (PUS) dan diletakkan di bawah Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO).

"Selamat pagi semua - kami mohon maaf atas kesilapan kami yang menyebabkan pengguna secara rawak diberikan status HSO/PUS.

"Kami telah membetulkan punca yang menyebabkan perkara ini berlaku. Semua HSO yang salah telah dipadamkan, dan status PUS yang tidak betul telah diperbetulkan," kata pihak MySejahtera pada jam 8.49 pagi.

Setakat ini tidak diketahui berapa ramai pengguna yang terjejas oleh kesilapan itu.

Terdahulu, seorang pengguna Twitter berkongsi tangkapan skrin daripada profil MySejahtera yang diambil pada jam 2 pagi yang menunjukkan status HSO, walaupun tidak mempunyai sejarah perjalanan atau mempunyai kontak dengan pesakit Covid-19 dalam tempoh 14 hari lalu.

“Hai @my_sejahtera, saya hanya tinggal di rumah sepanjang masa, kemudian tiba-tiba hari ini saya menerima pemberitahuan yang mengatakan status saya kini Individu Dalam Pengawasan (PUS).

"Mengenai sejarah pergerakan saya, saya tidak keluar ke mana-mana pun dalam tempoh 14 hari, sila semak perkara ini. Masa tangkapan skrin: 7 Nov 2021 2 pagi," kata @lokkhee1999.

Individu lain yang membalas tweetnya berkongsi pengalaman mereka, dengan sesetengah pihak mendakwa kesilapan itu berlaku selepas mereka mengemas kini maklumat peribadi.

Berikutan pengakuan MySejahtera, lebih ramai pengguna Twitter tampil dengan aduan mereka, termasuk beberapa individu yang mengatakan kesilapan itu menyebabkan mereka dinafikan menaiki pesawat.

Setakat kira-kira sejam selepas MySejahtera berkata ia telah memperbetulkan semua status HSO dan PUS yang salah, masalah itu dilihat masih berlaku di kalangan sesetengah pengguna.

HSO dikeluarkan kepada individu di bawah kuarantin sebagai kes yang disahkan atau kontak rapat, manakala PUS merujuk kepada individu tanpa gejala yang mempunyai kontak rapat dengan pesakit Covid-19.

Status PUS juga dikeluarkan kepada individu yang tiba dari luar negara yang diletakkan di bawah kuarantin.

Bulan lalu, aplikasi MySejahtera mendapat perhatian berikutan kelemahan keselamatan yang membenarkan sesiapa sahaja menghantar e-mel atau kata laluan satu kali (OTP) bagi pihak aplikasi itu, yang membawa kepada kebimbangan mengenai kebocoran data peribadi.

Pasukan MySejahtera pada masa itu berkata mereka telah menyekat eksploitasi yang memungkinkan untuk menghantar OTP bagi pihak aplikasi itu dan sedang dalam proses meningkatkan keselamatan aplikasi berkenaan.